Pelakon Janna Nick mengakui status yang dimuat naik di Instastory Instagram peribadinya baru-baru ini ditujukan kepada seorang selebriti di dalam industri.

Enggan mendedahkan siapa individu yang dimaksudkannya itu, selebriti berusia 23 tahun ini berkata, dia membuat luahan seperti itu kerana dia bukan seorang yang suka bermuka-muka.

"Saya tak komen fasal ini sebab bagi saya, yang plastik, kita biarkan plastik. Kalau boleh saya tak nak libatkan dengan orang seperti itu.

"Status yang saya muat naik itu memang ditujukan pada individu tersebut dan harap dia terasa la.

"Ada kejadian-kejadian yang membuatkan saya nampak diri dia tu plastik. Saya dah lama tak tahan benda, cuma lama-kelamaan saya belajar menerima.

"Saya bukan orang yang bermuka-muka dan saya orang yang sangat jujur. Kalau dia nak plastik dengan saya, tak payahlah," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Tayangan Perdana Program Raya Astro 2018 di Hotel Majestic, baru-baru ini.

Pemilik nama sebenar Nurul Jannah Muner ini, turut menasihati rakan-rakan industri agar tidak berpura-pura baik jika tidak menyukai atau membenci artis lain.

"Nasihat rakan-rakan industri, kalau tak suka, membenci sama-sama artis tak perlu berpura-pura baik.

"Bila dah menerima orang lain dalam hidup kita dengan niat nak berkawan tapi keikhlasan itu dipijak-pijak, saya rasa terhina dan terkilan.

"Saya tahu dalam industri kena berhati-hati dan tak boleh percaya semua. Tapi saya terima sahaja sesiapa nak berkawan dengan saya.

"Bersaing secara sihat, tak perlu nak menjatuhkan sesiapa," katanya.