VOKALIS kumpulan Bumiputra Rockers (BPR), Joey mengakui, sekarang bukan masa yang sesuai untuk dia dan anggota lain kembali memeriahkan muzik tanah air.

Bagaimanapun, Joey berkata, dia bersemangat untuk mengadakan konsert Silaturahim hanya semata-mata untuk mengubati kerinduan peminat-peminat kumpulan BPR.

"Alhamdulillah, pada tahun ini kami kembali mengadakan konsert bagi mengubati kerinduan dan bertemu dengan peminat-peminat setia BPR.

"Konsert pada kali ini berbeza daripada sebelum ini kerana saya akan lakukan yang terbaik seolah-olah saya rasa macam nak mati esok.

"Maksud saya bukan saya kata nak mati selepas persembahan, namun, itu hanya perumpamaan yang boleh digambarkan buat peminat setia BPR.

"Saya mahu membawa harapan orang ramai terutama peminat dan penulis lirik dalam menghiburkan mereka serta mengembalikan kenangan bersama BPR," katanya kepada Gempak.

Joey berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Silaturahim bersama Bumiputra Rockers di G Tower, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Joey dan BPR pernah menempa kemasyhuran menerusi lagu-lagu seperti Dari Sinar Mata dan Seribu Tahun Takkan Mungkin sekitar awal 1990-an.

Kumpulan ini akan menjayakan konsert Silaturahim bersama Bumiputra Rockers pada 10 Mac ini di The House, G Tower pada pukul 9 malam.

Orang ramai yang ingin menyaksikan konsert ini boleh mendapatkan tiket pada harga RM100 di www.bprticket.tk.