AKTRES jelita Nur Fazura menegaskan dia hanya menjalankan tugas sebagai penyampai trofi di malam Festival Filem Malaysia 30 (FFM 30).

Menurut Fazura, sebagai penyampai trofi, dia hanya mengikut permintaan daripada pihak produksi supaya majlis berjalan dengan lancar.

"Jadi, saya menjelaskan bahawasanya saya hanya menjalankan tugas sebagai penyampai trofi.

"Saya mengikut arahan dan permintaan daripada pihak produksi, Astro bagi melancarkan majlis.

"Apabila saya menerima kiriman mesej daripada Datuk Hans Isaac, apa yang saya buat adalah merujuk kepada pihak pengurusan saya, Universal Music Malaysia.

"Mesej yang dihantar oleh Hans itu telah menuduh saya bersikap tidak profesional di malam FFM 30.

"Sebagai penyampai di FFM 30, saya terikat dengan kontrak bersama Astro. Saya serahkan semuanya kepada pihak pengurusan saya," katanya kepada Gempak.

Fazura ditemui ketika majlis pelancaran Fattastic Raya yang diadakan di The Ritz-Carlton, Kuala Lumpur pada Ahad.

Tambah pelakon J Revolusi ini, dia sangat mengalu-alukan Hans untuk berkongsi kiriman mesej yang telah dihantar kepada umum.

"Saya juga ingin mengalu-alukan Hans untuk berkongsi mesej tersebut yang dikatakan bersifat 'friendly' dan hanya ditujukan terhadap kawan kepada umum supaya orang ramai boleh membuat penilaian sendiri.

"Saya di sini menegaskan bahawasanya saya hanya bersikap profesional sebagai penyampai trofi," katanya lagi.

Isteri kepada pelakon dan penyanyi Fattah Amin ini juga berpendapat dia tidak akan menghantar mesej berbentuk tuduhan kepada seorang kawan.

"Saya meneliti dan membaca beberapa kali Hans menyebut bahawa pesanan mesej itu dihantar dalam berbentuk 'friendly' untuk seorang kawan.

"Pada pendapat saya sebagai seorang kawan, saya tidak akan menghantar mesej yang berbentuk tuduhan seperti itu," katanya menutup perbualan.

Terdahulu, Fazura menafikan desas-desus penampilannya dan suami sebagai penyampai trofi di FFM adalah atas permintaan peribadi.

Fazura turut mendakwa dia menerima mesej melalui kiriman WhatsApp daripada Hans selaku rakan penyampai yang menyatakan rasa kecewa atas apa yang berlaku, terutama permintaan Fazura untuk digandingkan dengan Fattah yang disifatkan tidak mengikut tema slot berkenaan.

Dalam pada itu, Hans menegaskan kiriman mesej yang dihantar kepada aktres Fazura adalah bersifat peribadi.

FFM30 yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) itu diadakan di Pusat Konvesyen Antarabangsa (PICC), Sabtu minggu lalu.

BACA: Ini Kenyataan Rasmi Astro Berhubung Kontroversi Fazura & Hans Isaac Di FFM30

BACA: Hanya Fitnah Semata, Fattah Amin Rasa Ralat & Terkesan Berhubung Kontroversi di FFM30