“SAYA meminati dia sejak dari sekolah rendah lagi. Dia penyanyi pujaan saya.

“Jadi, bila berjumpa, dah tentulah saya nak bergambar,” kata Wany Hasrita mengenai hubungannya dengan bekas vokalis Q-Face, Fairuz Selamat.

Bermula sebagai peminat, penyanyi berusia 26 tahun ini bagaimanapun mengakui selesa berkawan dengan jejaka tersebut.

“Sebenarnya, saya dah lama kenal dia, sebelum jadi artis lagi. Kami pun pernah berduet dalam aplikasi Smule.

“Saya senang dengan dia. Dia juga matang bahkan tahu banyak perkara mengenai muzik sekali gus jadi tempat rujukan saya,” katanya pada Sinar Harian.

Pun begitu, pelantun lagu Menahan Rindu ini mengakui belum bersedia untuk menjalinkan hubungan percintaan.

“Saya mahu fokus pada kerjaya seni. Lagipun, karier saya baru saja naik dan saya pun menanggung keluarga.

“Semua orang tahu, artis ini bermusim. Mungkin, bila tak diingati lagi, barulah saya akan fikirkan soal cinta.

“Tapi, sekiranya jodoh datang dalam masa terdekat, saya tak akan menolak,” katanya.

Dalam pada itu, Fairuz mengakui Wany menepati ciri-ciri wanita idamannya.

“Saya dengan dia berkawan rapat. Ya, dia memang ada ciri-ciri wanita yang saya mahukan.

“Saya senang dengan sikapnya yang baik, easy going dan tak control cun,” katanya.

Bagaimanapun, lelaki berusia 32 tahun ini enggan mengganggu perjalanan karier Wany yang semakin meningkat naik.

“Memang saya dan dia berkawan, Tapi, saya pun yakin Wany juga ada berkawan dengan orang lain juga.

“Sebenarnya, kami pun jarang berjumpa tetapi kerap berbalas mesej. Kalau berjumpa pun apabila kami terlibat sama dalam acara hiburan.

“Lagipun, dia agak sibuk dengan kariernya. Jadi, saya perlu menghormati waktunya,” katanya.

Pada masa sama, Fairuz turut mengimpikan untuk berduet seterusnya menghasilkan single dengan pelantun lagu Rintihan Rindu itu.

“Sebelum ini, kami pernah berduet dalam aplikasi Smule.

“Pernah juga kami menyanyi bersama dalam pelbagai acara hiburan,” katanya.