Pelakon Will Smith dan isteri, Jada Pinkett, yang dikhabarkan akan bercerai selepas mendirikan rumah tangga selama 17 tahun sebenarnya antara pasangan paling bahagia di Hollywood.

Desas-desus tentang perceraian mereka sudah mula mendapat perhatian peminat dan pihak media sejak dua tahun lalu. Namun, pasangan secocok ini gembira di samping mempunyai kerjaya yang berjaya.

Baru-baru ini, portal berita Radar Online memetik sebagai berkata, perkahwinan Will-Jada akhirnya berakhir selepas rumah tangga mereka goyah.

Bagaimanapun, Will hari ini menafikan khabar angin mereka bakal bercerai dan mengaku masih bergelar suami isteri melalui satu kenyataan di laman Facebook rasminya.

"Jada dan saya tidak akan bercerai," kata Will.

"Jika kami mengambil keputusan untuk bercerai, saya akan maklumkan perkara itu," ujarnya.

fb
Kenyataan Will Smith di laman Facebooknya

Malah, Will juga menyatakan khabar angin itu sebenarnya "ulangan" yang tidak masuk akal.

Kenyataan yang dimuat naik awal Selasa ini disukai lebih dari 450,000 pengikut dan dikongsi sebanyak 37,000 kali.

Menurut Will, beliau tidak akan memberi reaksi kepada khabar angin sebegini tetapi kali ini, selepas pasangan itu menerima ucapan simpati yang banyak dari peminatnya, selebriti Hollywood itu tampil untuk memberi penjelasan.

Khabar angin berterusan sejak tahun 2013 selepas Will dilihat menjalinkan hubungan yang mesra dengan bintang bersama filem "Suicide Squad", Margot Robbie.

Will juga pernah dilihat bergambar tanpa cincin perkahwinannya sebelum ini. Namun, ini bukan petanda yang perkahwinannya diselubungi masalah.

Will berkahwin dengan Jada pada tahun 1997 dan pasangan itu dikurniakan dua orang cahaya mata, Jaden Smith,17 dan Willow Smith, 14.