Pelakon dan pelawak terkenal, Jep Sepahtu menjelaskan dia tidak mempromosikan diri sendiri untuk meraih undian peminat di Anugerah Lawak Warna 2014.

Menurut Jep atau nama penuhnya Mohd Nadzri Bin Zainal Abidin, walaupun ada pihak-pihak tertentu telah mempelawanya untuk membuat promosi, dia tidak berminat untuk melakukan perkara tersebut.

“Saya tidak pernah untuk melakukan promosi diri untuk meraih undian peminat terutamanya jika ianya melibatkan majlis anugerah. Saya tidak pernah memaksa mereka di luar sana untuk mengundi saya, jika mereka rasakan saya layak untuk terima anugerah ini mereka sendiri akan undi.

“Dari program Raja Lawak lagi sehingga ke hari ini, saya tidak pernah suruh orang luar mengundi saya termasuk ahli keluarga saya sendiri.

“Saya lebih suka biar sesuatu perkara itu dilakukan secara jujur dan telus dan mereka fikir saya layak untuk terima trofi.

Yang berhak menilai saya adalah mereka di luar sana sebab pada saya kemenangan itu bukan semata-mata kerana trofi sahaja sebaliknya ianya adalah kepuasan kepada mereka yang terkesan di hati apabila menonton apa yang saya buat,” jelas Jep ketika ditemui selepas meraih trofi Artis Lawak Lelaki Paling Popular 2014 buat tahun kedua berturut-turut di Anugerah Lawak Warna 2014 yang berlangsung di Teater Selangor, di sini, malam Jumaat yang lalu.

Tambah Jep lagi, dia memilih untuk mengurangkan aktiviti seni dan menolak beberapa tawaran besar kerana tidak mahu terpalit dengan pelbagai kontroversi atau tuduhan liar yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Saya tidak terburu-buru untuk mengerja harta dan sebagainya. Alhamdulillah saya hidup dalam keadaan gembira dan bersyukur dengan apa yang ada. Saya kurangkan aktiviti lakonan pun kerana tidak mahu gosip liar yang melibatkan diri saya timbul.

“Bila saya ambil tawaran berlakon yang sedikit, sekurang-kurangnya saya dapat kesan sebarang kesalahan yang saya lakukan apabila bekerja dengan pihak produksi.

“Saya lebih suka keluar dengan sedikit produk tetapi meninggalkan kesan mendalam buat para penonton selain ianya dapat mengelakkan saya dari dituduh dengan pelbagai cerita liar. Perkara seperti ini akan menganggu kerja-kerja saya selain fikiran saya. Saya hanya cari rezeki untuk keluarga saya di kampung. Itu sahaja,” ujar Jep lagi.

Dalam pada itu, Jep mengakui ada memasang niat untuk mendirikan rumah tangga selepas melihat rakan-rakan artis seperti Shuib dan Ajak Shiro yang bahagia bersama keluarga.

“Di usia hampir 30 tahun ini, saya ada terfikir untuk mendirikan rumah tangga dan bukanlah saya tidak berusaha untuk ke arah itu. Apabila tengok Shuib yang sudah ada anak, kawan-kawan lain bahagia bersama keluarga, saya pun teringin juga.

“Ianya salah satu perkara yang saya belum ada, tapi berkahwin bukan perkara yang mudah. Saya harapkan semoga saya dapat tamatkan status bujang saya ini di umur 30 atau 31 tahun, Insya Allah,” tambah Jep mengakhiri perbualan. - Astro Gempak