SEKALIPUN filem Sepet sudah berusia 13 tahun, namun masih ramai yang tidak mampu melupakan bagaimana besarnya pengaruh naskhah sentuhan Allahyarham Yasmin Ahmad itu dalam kehidupan masyarakat.

Tidak hanya sekadar menonjolkan tema kasih sayang, sebaliknya, Sepet juga bertanggungjawab memasyhurkan nama pasangan pelakon ideal, Sharifah Amani dan Ng Choo Seong.

Selepas 13 tahun berlalu, sebetulnya, baik Sharifah Amani (atau popular sebagai Orked dalam filem Sepet) mahupun Choo Seong atau lebih mesra dikenali sebagai Jason (nama karakter dalam Sepet) sendiri masih belum mampu mengusir kenangan dalam filem itu.

Apa lagi dengan kekerapan peminat filem Sepet bertanya 'apa yang terjadi kepada Jason?' menyebabkan kedua-dua mereka sendiri juga berteka-teki mengenai pengakhiran jalan cerita naskhah berkenaan.

Justeru, pertemuan Sharifah Amani dengan Choo Seong di Festival Filem Antarabangsa Singapura baru-baru ini sekali lagi menarik perhatian aktres itu yang berkongsi kemanisan pengalaman lalu.

She chose you. #JasonAndOrked

Di laman Instagramnya, Sharifah Amani menceritakan bagaimana dia dan Choo Seong berpendapat, tiada apa yang berubah mengenai mereka.

“Masing-masing ada kehidupan sendiri. Bagaimanapun, sesekali apabila ada kesempatan bertemu tiada apa yang berubah... kami masih lagi Orked dan Jason," tulis Sharifah Amani lagi.

Menurut Sharifah Amani Allahyarham Yasmin juga semasa hayatnya sering bertanya kepada para penonton filem Sepet apa yang mereka jangkakan terjadi kepada Jason.

Sepet merupakan antara naskhah cemerlang yang pernah dihasilkan Yasmin semasa hayat beliau. Filem berkenaan meraih tujuh anugerah utama pada Festival Filem Malaysia Ke-18 pada 2005 termasuk merangkul anugerah engarah Terbaik dan Filem Terbaik.

Yasmin merupakan seorang karyawan yang sangat disegani kerana kebijaksanaan beliau dalam menghasilkan naskhah-naskhah bertemakan kemanusiaan dan perpaduan.

Allahyarham Yasmin menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun selepas diserang strok dan pendarahan dalam otak.