SIAPA yang pernah menonton filem Django Unchained pasti mengakui kehebatan filem arahan pengarah terkenal Quentin Tarantino itu.

Filem yang berkisar kisah balas dendam lelaki kulit hitam mangsa penghambaan itu turut menampilkan pemenang Oscar, Leonardo DiCaprio selaku antara teraju utama.

Terbaharu dua figura hebat perfileman Hollywood ini bakal kembali bergabung dalam filem yang belum diumumkan lagi tajuknya.

Berlatar belakang tahun 1969, filem berkenaan berkisar mengenai pembunuhan Sharon Tate, isteri kepada pengarah filem kontroversi Roman Polanski.

DiCaprio ketika ini dalam proses rundingan dengan pihak penerbitan. Turut dirisik bagi menjayakan filem ini termasuk Margot Robbie yang pernah bergandingan bersamanya dalam The Wolf of Wall Street dan Tom Cruise.

Filem terbitan bersama Tarantino, David Heyman dan Shannon McIntosh itu dijadual ditayangkan pada 9 Ogos 2019, sempena genap 50 tahun pembunuhan Tate dan beberapa rakannya oleh pengikut Charles Manson.