Pemergian seorang lagi legenda trio Bujang Lapok, pelakon veteran Datuk Abdul Aziz Sattar, bermakna negara kita kehilangan trio hebat zaman kegemilangan filem melayu Jalan Ampas.

Aziz Sattar, 89 meninggal dunia pada pukul 2 pagi tadi di Hospital KPJ Kajang akibat penyakit jantung.

Allahyarham telah dikejarkan ke hospital yang sama pada Ahad lalu.

Ketika hayatnya, Allahyarham amat dikenali dengan watak Ajis bersama trio Ramlee dan Sudin menerusi filem Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Ali Baba Bujang Lapok dan banyak lagi.

Siri filem Bujang Lapok sememangnya kekal segar dalam ingatan peminat filem melayu sehingga ke hari oleh segenap lapisan usia.

Usai era Jalan Ampas, Allahyarham mengarah filem pertamanya iaitu Keluarga Si Comat pada tahun 1975.

Allahyarham kemudian terus diberi kepercayaan mengarah beberapa filem lagi seperti Si Badol, Prebet Lapok, Penyamun Tarbus, Setinggan, Tujuh Biang Keladi, Ok dan Adik yang sekaligus turut melahirkan nama-nama besar dalam dunia komedi seperti AR Badul dan Mr. Os.

Ikon lawak negara yang turut dikenali sebagai Pak Ajis ini dilahirkan di Pekalongan, Provinsi Jawa Tengah, Indonesia pada 8 Ogos 1925.

Pemergian Allahyarham meninggalkan tujuh orang anak, 19 cucu, lima cicit dan seorang balu.

Jenazah akan disempurnakan pada pukul 11:30 pagi hari ini di kediaman anaknya, di alamat 37 Jalan Suasana 2/2 Bandar Tun Hussein Onn, Cheras dan akan dikebumikan selepas Zohor di Tanah Perkuburan Cheras Perdana.