Aktor berbakat yang juga pemenang Oscar, Rami Malek, bakal memainkan peranan antagonis bertaraf antarabangsa dalam filem James Bond yang terbaharu.

Dalam francais ke-25 filem itu, Malek ialah watak ‘jahat’ yang bakal ditentang oleh Bond lakonan aktor British, Daniel Craig.

Malek, 37, menerima pujian sewaktu membawakan watak vokalis Queen, Freddie Mercury, dalam filem yang hangat diperkatakan pada tahun lalu iaitu Bohemian Rhapsody. Pembawaan watak itu telah melayakkannya menerima trofi aktor terbaik dalam Anugerah Akademi lalu.

Bakat dan penghayatannya sekali lagi bakal teruji dalam francais terbaharu James Bond, memandangkan watak antagonis dalam filem perisikan popular itu perlu sama menyerlah dengan watak Bond itu sendiri.

Para peminat dari seluruh dunia khususnya kumpulan fanatik filem itu akan mengadilinya nanti.

“Saya janji kepada anda semua bahawa Bond tidak akan diberi laluan mudah,” ujar Malek dalam pengumuman yang disiar secara penstriman langsung berkenaan filem tersebut.

Dalam satu temu bual lain, Malek berjanji akan memaparkan sisi watak jahat yang berbeza daripada apa yang dijangkakan olej peminat Bond.

Filem terbaharu Bond itu sehingga kini hanya dikenali dengan judul 'Bond 25'. Ia merupakan penampilan kelima Craig sebagai ejen sulit British ternama.

Pihak penerbit memberitahu, penggambaran filem itu antara lain akan dijalankan di Jamaica, selain di Itali, Norway dan London.

Selepas Spectre, Craig pernah berkata dia rela memotong lengannya daripada memainkan watak Bond sekali lagi. Namun pada 2017, aktor itu mengesahkan bahawa dia akan kembali sebagai James Bond buat kali terakhir.