Filem ikonik arahan pengarah tersohor Yasmin Ahmad, Sepet akan ditayangkan semula pada 13 Mac depan di Cineleisure, The Curve.

Selepas lebih 10 tahun sejak filem itu ditayangkan kepada umum, ia kembali menemui peminatnya bagi mengisi tabung dana kelangsungan Muzium Yasmin Ahmad At Kong Heng yang terletak di Ipoh.

Menerusi laman web www.movie-gogo.com, peminat boleh menyumbang sejumlah wang untuk berpeluang menyaksikan filem tersebut.

Dermawan terpilih turut berpeluang untuk bertemu bintang-bintang filem tersebut antaranya Sharifah Amani yang berperanan sebagai Orked, Ng Choo Seong (Jason), Adibah Noor (Kak Yam) dan ramai lagi.

KLIK: Muzium khas abadikan kehidupan Yasmin Ahmad dibuka di Ipoh

KLIK: Mengapa perlu dengki pada Yasmin At Kong Heng?

Sejurus tayangan satu diskusi ilmiah yang dikemudi pengkritik filem terkenal, Hassan Muthalib berkenaan filem tersebut akan turut diadakan.


Filem yang melangkaui batas bangsa dan agama ini sentiasa dekat pada hati masyarakat kerana paparan kisah cinta dua bangsa yang sentiasa membuai perasaan penonton.

Dinobatkan sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-18, Sepet dibintangi Ng Choo Seong, Sharifah Amani, Ida Nerina, Harith Iskander, Adibah Noor, Linus Chung, Tan Mei Ling dan Thor Kar Hoong.

Caranya mudah sahaja, sumbang sokongan anda di www.movie-gogo.com dengan menyatakan jumlah sumbangan anda (RM100, RM60, RM25, RM10, RM5 atau RM1).

Setakat ini sebanyak 56% tiket telah pun terjual, hanya tinggal 88 tiket yang masih boleh dibeli.