Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang Sultanah Hajjah Kalsom berkenaan berangkat menghadiri Konsert 'Raja dan Rakyat Berpisah Tiada' bersempena Hari Keputeraan Ke-85 Sultan Ahmad Shah di Istana Budaya di sini, malam tadi.

Konsert selama dua jam itu diserikan dengan persembahan tujuh penyanyi tersohor negara dan Indonesia yang mendapat penganugerahan gelaran Datuk daripada Sultan Pahang.

Mereka ialah Datuk Jamal Abdillah yang menerima penganugerahan pada 2013, penyanyi ternama Indonesia Datuk Rossa (2013), Datuk Hattan (2012), Datuk David Arumugam dari Kumpulan Alleycats (2008), Datuk Leonard Tan(2008), Datuk Siti Nurhaliza (2006) dan Datuk Yusni Hamid (2003).

Kesemua tujuh penyanyi itu berkongsi pentas buat kali pertama dengan diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan Konduktor Muzik Mustafa Fuzer Nawawi.

Siti Nurhaliza membuka tirai persembahan dengan lagu 'Joget Pahang'.

Acara julung kali diadakan itu dianjurkan oleh Luhur Nurani dengan kerjasama Persatuan Siswazah Warisan, Pertubuhan Strategis Bersatu dan Yayasan ALMAS yang dinaungi adinda Sultan Pahang, Datuk Seri Tengku Kamarulzaman Sultan Abu Bakar.

Sebahagian daripada kutipan jualan tiket konsert berkenaan akan disalurkan untuk pendidikan anak kurang berkemampuan dan anak yatim di Pahang.

Kemuncak majlis itu adalah pemotongan kek ulang tahun keputeraan baginda Sultan Pahang.

Terdahulu, baginda berdua melawat Pameran Diraja "Raja dan Rakyat Berpisah Tiada" yang memaparkan koleksi gambar kehidupan Sultan Pahang sejak dari diputerakan, di Pusat Kesenian Istana Budaya.

Pameran itu diadakan sejak Rabu lepas.