Tutup

Siti Nurhaliza teruja bawa Aafiyah ke Tanah Suci

Siti Nurhaliza teruja bawa Aafiyah ke Tanah Suci
Siti menerima anugerah platinum daripada Pengarah Urusan Kumpulan Universal Music, Kenny Ong. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, teruja untuk membawa puterinya, Siti Aafiyah, bersamanya menunaikan umrah.

Kata penyanyi nombor satu negara itu, beliau sudah berniat untuk membawa anaknya ke tanah suci sejak sebelum hamil lagi.

Niat itu disimpan kemas dalam hati dan apabila doanya untuk memiliki cahaya mata terkabul, Siti mahu menunaikan hajat itu.

"Setiap kali ke tanah suci, saya berdoa agar dikurniakan anak dan saya akan membawanya ke Mekah.
"Alhamdulillah, doa saya untuk bawa Aafiyah ke sana 'dijawab' pada usia Aafiyah setahun," ujarnya.

Siti bakal berangkat ke Mekah pada 23 Mei dan akan berada di sana sehingga 2 Jun.
Siti bersama para peminatnya menyampaikan lagu Sesuci Lebaran.
Biarpun teruja, Siti bagaimanapun mengakui sedikit berdebar kerana tidak pasti bagaimana situasi sepanjang berada di sana nanti.

"Pergi dengan anak kecil, tentu berbeza keadaannya. Tetapi saya akan turut ditemani ahli keluarga yang lain, malah kakak (pengasuh) Aafiyah juga akan turut serta.

"Apa yang saya lakukan ialah saya cuba biasakan Aafiyah melihat kami bersolat, supaya sedikit sebanyak dia faham.

"Apapun, saya berdoa agar semua urusan di sana nanti dipermudahkan," tambah Siti.

Beliau ditemui pada majlis berbuka puasa bersama kelab peminatnya, Sitizone, di ibu negara, pada Sabtu.

Dalam majlis itu, syarikat rakaman Universal Music turut menyerahkan beberapa anugerah kepada Siti, antaranya 11x platinum untuk single Anta Permana dan anugerah khas Legend Award sebagai menghargai pencapaiannya selama 23 tahun dalam industri muzik.





Tag: Siti Nurhaliza, umrah, anak, keluarga, puasa, mekah, Siti Aafiyah



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.