SAYA punya beberapa sebab kenapa beria-ia mahu menonton Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Sabtu malam.

Pertama, tentu sekali kerana statusnya sebagai buah hati kesayangan Malaysia dan kedua, Siti Nurhaliza merupakan antara penyanyi tanah air yang saya begitu ambil berat mengenai karya-karya seninya selama ini.

Kehadiran saya ke Axiata Arena dengan fikiran terbuka dan mahu mendengar nyanyian merdu penyanyi berusia 40 tahun itu.

Konsert jelajah pada malam itu boleh disifatkan sebagai retrospektif lebih dua dekad penyanyi kelahiran Kuala Lipis, Pahang itu.

Sebelum ini, penyanyi berkenaan sudah memukau perhatian peminat setianya di Indonesia dan Singapura sebelum menutup pementasan jelajah di Kuala Lumpur.

Berbekalkan 25 buah album sejak langkah pertama dalam bidang seni pada 1996, Siti Nurhaliza merentasi laluan industri hiburan dengan semangat yang kental.

Siti Nurhaliza tidak pernah sekali cuba menjadi artis antarabangsa, dia setia dengan status sebagai penyanyi Melayu.

Nyanyiannya sentiasa berteraskan lenggok Melayu, manakala personalitinya kekal sebagai wanita Timur.

PEMBUKAAN konsert Siti Nurhaliza pada malam Ahad memukau perhatian peminat-peminatnya. - Gambar Astro AWANI/ MALIK RIDHWAN

Seniwati muda ini membuktikan beliau berada di kelasnya yang tersendiri. Beruntung Siti Nurhaliza kerana dia disayangi oleh peminat yang tidak pernah jemu menyokongnya.

Lantaran mengagumi kelompok peminat, dia tidak jemu berterima kasih kepada peminat-peminatnya.

Lebih dua jam beraksi, Siti Nurhaliza menggunakan keseluruhan pentas dengan energi dan sebuah rangkuman perjalanan panjang seorang penghibur yang mendedikasikan seluruh kasih dan sayangnya pada seni.

Lalu kerana itu, kita jangan hanya melihat Siti Nurhaliza sebagai penyanyi semata-mata.

Jauh lebih besar daripada itu, Siti Nurhaliza adalah seorang penyanyi yang mempromosikan budaya dan kesenian Melayu.

Membuka tirai persembahan dengan seleksi lagu irama tradisional, Siti Nurhaliza meletakkan seni dan budaya Melayu sebagai keutamaan.

Siti Nurhaliza boleh sahaja memilih lagu-lagu baladanya yang jumlahnya tidak terkira, tetapi memilih irama Melayu tradisional sebagai membuka tirai sebuah konsert mega, itu memerlukan keberanian dan keyakinan yang tinggi.

Dan itu semua dilakukannya di hadapan 10,000 pencintanya.

Saya melihat idea meletakkan lagu irama tradisional sebagai pembuka persembahan sangat signifikan dalam persekitaran semasa industri hiburan tanah air.

Di lokasi sama, Siti Nurhaliza mengulangi sejarah kemasyhuran yang sama dilakarnya ketika berusia 19 tahun sekitar dua dekad lalu.

“Konsert pertama saya diadakan pada 1999, 20 tahun lalu, di lokasi yang sama. Ketika itu saya berusia dalam lingkungan 19 hingga 20 tahun, saya berimpian untuk mengadakan konsert pertama," ujar penyanyi yang namanya mula menjadi sebutan ramai menerusi lagu Jerat Percintaan ciptaan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.

Bertitik tolak dari situ, langkah seni Siti Nurhaliza diatur dengan penuh yakin, berani tanpa menoleh ke belakang.

Siri kejayaan demi kejayaan tidak melalaikan Siti Nurhaliza.

Penyanyi ini bertuah kerana mendapat sokongan daripada segenap aspek termasuk karya-karya yang menjadikannya beliau terus relevan sehingga ke hari ini.

Semua itu dirangkumkannya dalam pementasan mega berkenaan.

Lagu-lagu seperti Badarsila, Balqis, Hati Kama, Nirmala, Jerat Percintaan, Wajah Kekasih, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang, Siti Situ Sana Sini, Engkau Bagaikan Permata, Comel Pipi Merah, Percayalah, Bukan Cinta Biasa dan Anta Permana antara yang dipersembahkannya.

Beliau juga menyanyikan lagu duet Seindah Biasa bersama penyanyi terkenal Indonesia, Tulus.

Di malam ajaib itu, Siti Nurhaliza mengambil kesempatan berkongsi rasa mengenai orang-orang penting yang memainkan peranan dalam perkembangan kerjaya seninya.

Selain Allahyarham Adnan, penghibur ini juga merakamkan penghormatan buat seniman Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

Persembahan tribute buat kedua-dua komposer tersohor negara itu sebagai menterjemahkan rasa terima kasih Siti Nurhaliza buat mereka.

Penghibur yang juga ibu kepada Siti Aafiyah Khalid itu telah merumuskan pengalaman lebih dua dasawarsa sebagai anak seni dengan penuh kasih, sayang dan cinta di pentas mega Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour 2019.