MENERUSI laman Instagram, penyanyi Ayda Jebat menyeru peminatnya menonton filem Jibam yang sedang ditayangkan di pawagam.

Tindakan Ayda menyokong filem Jibam menimbulkan sedikit persoalan kerana filem lakonannya, Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali masih hangat ditayangkan di panggung semenjak 30 November lalu.

“Saya mendengar khabar filem Jibam merupakan sebuah karya yang baik dan berkualiti.

“Namun begitu, saya difahamkan filem itu kurang mendapat sambutan dan dengarnya filem Jibam bakal dihentikan tayangan selepas seminggu.

“Bagi saya, tak salah jika saya menyeru peminat dan pengikut saya untuk sama-sama menonton filem itu. Saya berharap agar semua orang dapat menyokong filem tersebut.

"Kalau bukan kita, siapa lagi mahu menyokong filem tempatan?

“Tak salah jika saya saling membantu dan menyokong filem Jibam biarpun filem Pinjamkan Hatiku sedang hangat ditayangkan di pawagam.

“Saya percaya dengan ketentuan rezeki dan tidak merasakan tindakan saya menganggu kerancakan filem Pinjamkan Hatiku yang sudah mencecah kutipan sebanyak RM2.5 juta selepas 12 hari tayangan,” kata Ayda.

Tambah Ayda, dia juga berminat untuk bekerja dengan pelakon utama filem Jibam, Mohd Ariff Abdullah atau lebih dikenali dengan nama Buntat, 13.

“Saya difahamkan Buntat berminat untuk berlakon bersama saya. Insya-Allah, jika ada rezeki, apa salahnya.

“Saya berharap Buntat dapat terus kekal tabah kerana bukan mudah menjadi anak seni. Saya juga berharap agar Buntat akan terus mencipta nama sebagai pelakon pelapis dan terus berjaya di masa akan datang,” katanya lagi.

Filem Jibam diadaptasi daripada novel popular 90-an hasil tulisan kartunis Ibrahim Anon atau Ujang.

Selain Buntat, pelakon popular lain yang turut membintangi filem arahan Che Mie ini ialah Syafie Naswip, Farah Ahmad, Esma Danial, Fadlan Hazim, Mia Ahmad, Bohari Ibrahim, Kazar Saisi dan Kamarool Yusoff.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Ayda