PENYANYI tempatan, Yuna, yang menempa nama di persada antarabangsa sekali lagi mencipta sejarah tersendiri apabila beliau berhasil mengumpul jumlah penstriman audio hingga mencecah 36 juta menerusi aplikasi muzik Spotify sepanjang tahun 2018.

Jumlah streaming yang dikumpulkan oleh beliau itu merangkumi 65 negara.

Itu sekali gus membuktikan bahawa beliau mempunyai pengaruh yang besar dan kuat dalam industri muzik di Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.

Yuna turut mengucapkan terima kasih kepada kesemua peminat beliau yang telah memberi peluang dan ruang untuknya menghasilkan lagu dan terus bernafas dalam industri muzik.


Para peminat juga dihargai penyanyi itu kerana tidak pernah bosan untuk terus memilih lagu nyanyian beliau sebagai hiburan.

Yuna semakin melebarkan jumlah pengikut dan memateri namanya di pentas antarabangsa apabila lagu duet bersama bintang R&B, Usher, yang berjudul Crush pernah menduduki tangga ketiga di carta Billboard Adult R&B.

Kini, kejayaan beliau sangat memberangsangkan dengan jumplah terkumpul menerusi data Spotify bagi tahun 2018. Lagu nyanyian beliau dimainkan secara purata 80,000 kali di setiap bandar di seluruh dunia sepanjang tahun dan ia didengari hampir 2 juta pendengar berdasarkan purata setiap jam.