Pelakon veteran ternama tanah air, Rubiah Suparman kehilangan suaminya, Zahri Mohd Nor yang meninggal dunia sekitar pukul jam 5.15 petang Sabtu.

Allahyarham Zahri yang berusia 80 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di USJ, Subang Jaya akibat kanser paru-paru.

Menurut laporan Harian Metro yang memetik anak tirinya, Azida Roselay, Allahyarham Zahari disahkan menghidap penyakit itu penghujung Januari lalu.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian ayah. Ayah disahkan menghidap kanser paru-paru pada hujung Januari lalu.

“Bagaimanapun, ayah tidak menjalani sebarang pembedahan kerana risiko tinggi memandangkan usianya sudah menjangkau 80 tahun.

“Kami sekeluarga sudah bersedia dengan segala kemungkinan apabila keadaan ayah semakin lemah dari hari ke hari. Malah, beberapa hari sebelum ayah menghembuskan nafas terakhir dia juga dalam keadaan sedar dan tidak sedar,” katanya seperti dilaporkan.

Rubiah juga, kata Azida, reda dengan pemergian suami tercinta.

“Alhamdulillah, mak kuat dan reda dengan pemergian ayah. Diharapkan semoga segala urusan berjalan
lancar," kata Azida lagi.

Jenazah Allahyarham Zahri akan dikebumikan esok pagi di Tanah Perkuburan USJ 22.

Rubiah merupakan angkatan pelakon era 70-an yang banyak membintangi filem dan drama antaranya Bila Hati Telah Retak, Dayang Suhana, Potret Maria dan lain-lain.

Beliau juga mengusahakan restoran Puteri yang sangat popular bagi masyarakat di sekitar Lembah Kelang.