PELAKON Syafiq Kyle menafikan khabar angin yang mengatakan dia dan pasangannya dalam filem Langsuir, Hannah Delisha sebelum ini mempunyai masalah dan tidak bertegur sapa sehingga menyukarkan aktiviti promosi untuk filem ini.

Syafiq yang ditemui di Majlis Tayangan Perdana Filem Langsuir pada Rabu, menyifatkan cerita tersebut sebagai tidak benar kerana hubungannya dengan pelakon asal Singapura itu sangat baik dan tidak pernah bermasalah sepanjang bekerjsama dalam industri.

“Memang saya ada dengar tentang perkara ini diperkatakan tapi tak ambil kisah kerana ia tidak pernah berlaku.

“Soal tidak dapat menjayakan photoshoot bersama itu bukan kerana kami bermasam muka, tetapi kerana jadual kerja saya dan Hannah yang tidak sama menyebabkan sukar untuk kami memenuhi permintaan tesrebut.

“Kalau jadual saya OK, Hannah pula yang terikat dengan kerja dan begitulah sebaliknya. Ia adalah disebabkan masa kami dan bukan kerana perkara-perkara lain,” kata Syafiq.

Bagaimanapun, kata Syafiq, menjelang tayangan filem Langsuir pada 20 September depan ini, dia dan Hannah sudah bersedia untuk memulakan rangka promosi bersama.

Syafiq Kyle


“Kami sekarang sudah memulakan rangka promosi bersama untuk filem ini, sementelah pihak pengurusan masing-masing sudah aturkan jadual kami dengan sebaik mungkin.

“Jadi tidak ada masalah lagi untuk kami berdua memenuhi undangan photoshoot, selain hadir untuk promosi bersama peminat dan sebagainya,” tegas Syafiq.

Dalam pada itu, Syafiq tidak mahu mengambil kisah jika ada pihak yang menganggap gosip tersebut sebagai satu gimik untuk mempromosikan filem terbaharu mereka.

“Isu bermasam muka ini bukannya datang daripada kami, malah saya sendiri pun tidak tahu bagaimana ia bermula atau dari siapa.

“Ia bukan gimik yang sengaja dibuat, namun jika isu ini boleh memberi publisiti kepada filem ini, saya okay sahaja kerana sekurang-kurangnya ia membawa kebaikan untuk kami.

"Namun ingin saya tegaskan saya dan Hannah tidak pernah ada perselisihan faham sehingga bermasam muka, sebaliknya kami berkawan baik tanpa sebarang masalah,” kata Syafiq