Tabung Prihatin Yazit Search yang dilancarkan pada Konsert Gegar Utara XPDC di Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Ahad menarik perhatian lebih 4,000 penonton yang hadir.

Rata-rata peminat XPDC yang hadir nyata terkejut dengan perkhabaran yang diumumkan oleh XPDC tentang perkembangan pemain drum kumpulan rock tersohor tanah air itu.

Pada konsert tersebut, penganjur turut sempat memainkan klip berita Astro AWANI yang memaparkan kisah Yazit yang pernah disiarkan dahulu.

Salah seorang peminat yang hadir Roslan Aziz, 45, berkata dia tidak menyangka sama sekali tahap kesihatan Yazit seteruk itu ketika ini.

"Saya pernah juga dengar sedikit sebanyak pasal Yazit ni, tapi tak sangka seteruk itu sehingga terpaksa busking tepi jalan. Dia tu lejen bro!" katanya ketika menghulurkan derma terhadap tabung tersebut.

Tabung Prihatin Yazit Search yang diancarkan pada konsert Gegar Utara XPDC. - Foto ihsan Yazit Search

Sebanyak empat tabung digerakkan ketika konsert itu berlangsung selama dua jam.

Terdahulu vokalist XPDC, Mael sempat berkongsi kisah Yazit kepada peminat yang hadir dan merayu agar kesemua mereka memberikan sumbangan ikhlas semampu mungkin kepada Yazit yang mana kos perubatannya kini semakin meningkat.

Menurut pemain bass Zuar, tabung tersebut akan diserahkan kepada Yazit secepat mungkin bagi meringankan beban yang ditanggungnya ketika ini.

"Kutilan ini insya-Allah ia mampu membantu beliau. Ini adalah pertolongan ikhlas kami, jadi biarlah urusan kami ini urusan XPDC dengan Allah. Lagipun tanggungjawab kami juga. Terima kasih juga kepada penganjur yang turut sudi menghulurkan sumbangan peribadi kepada Yazit.

"Ini adalah amanah peminat yang perlu di sampaikan kepada Yazit, jadi kami perlu menyempurnakannya. Kami pun tak sangka peminat yang hadir malam tadi sebegitu ramai dan sangat prihatin," katanya ketika ditemui selepas konsert.

Konsert yang diadakan malam tadi adalah sempena ulangtahun ke-30 XPDC dalam industri muzik.

Malah kumpulan rock 'heavy metal' itu agak teruja pada konsert tersebut memandangkan agak lama tidak mengadakan persembahan di Pulau Pinang sejak beberapa tahun.

Nyata usaha mereka berbaloi apabila lebih 4,000 peminat berkumpul sejak petang bagi melihat persembahan mereka.

XPDC menampilkan hampir 20 buah lagu yang pernah melonjakkan nama mereka dipersada dunia hiburan tanah air sepanjang pembabitan mereka dalam industri muzik negara.