Tuah nyata milik Ministar Eiffel apabila bintang cilik itu muncul juara program realiti Ceria Megastar Ministar 2019 musim pertama pada konsert akhir yang disiarkan, sebentar tadi.

Membawakan lagu Talking To The Moon dan Bohemian Rhapsody, kemenangan itu sekali gus menyaksikan Eiffel berjaya membawa pulang wang tunai RM25,000 dan trofi Ceria Megastar Ministar.

Eiffel mengalahkan Ministar Cici pada pusingan 'battle', sekali gus Cici terpaksa akur bergelar naib juara dengan membawa pulang RM10,000 berserta trofi Ceria Megastar Ministar.

Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh Ministar Aliff yang juga membawa pulang RM10,000 berserta trofi Ceria Megastar Ministar.

Ministar Putri pula memenangi tempat keempat dan membawa pulang trofi Ceria Megastar Ministar.

Pada konsert akhir tersebut, keempat-empat peserta diberikan tugasan menyanyi lagu solo sebelum dua peserta dipilih untuk berentap pada pusingan 'battle' bagi merebut gelaran juara.

Juri menentukan markah sebanyak 70 peratus, manakala 30 peratus lagi daripada undian ‘online’.

Pengacara Datuk Aznil Nawawi dan pelawak dan pelakon, Zizan Razak bertindak sebagai juri tetap manakala Ratu Dangdut Malaysia, Mas Idayu sebagai juri jemputan.

Dihoskan oleh Nabil Ahmad, konsert Ceria Megastar Ministar bersiaran setiap Jumaat bermula 21 Jun lalu dan disiarkan di saluran Astro Ceria (CH611), Astro Prima (CH105) dan Astro Prima HD (CH121).

Sepanjang program tersebut, Megastar Wafiy Aan, Chubb-E dan Vanessa Reynauld bersama Guru Vokal, Mark Adam, dan Guru Persembahan, Alam Wakaka ditugaskan melatih para Ministar.