PELAKON yang terkenal dengan imej eksentrik, Didie Alias akhirnya menimang cucu sulungnya semalam.

Didie, 46 tahun, menerusi perkongsiannya di Instagram mengucapkan rasa syukur atas kelahiran cucu yang hanya diberi nama Baby SS.

"Alhamdulillah, tambah lagi keturunan Mumy," tulisnya bersama tanda pagar (hashtag) #NannyD.

Entri Didie mendapat ucapan tahniah daripada peminatnya yang rata-ratanya mengagumi kecantikan rambut cucunya.

"Lebatnya rambut cucu Nanny," tulis @ciknissak.

"Cucu baru ke anak tu? Comel sangat-sangat, rambut pula lebat," soal @annaquyuum83.

"Tahniah Mumy! Assalamualaikum baby boy! Semoga menjadi anak soleh," tambah salah seorang pengguna.

Sementara itu, menurut perkongsian anak sulung Didie, Nur Dhaniyah Md Ridzuan, bayi lelaki seberat 3.60 kilogram itu telah selamat dilahirkan pada 14 April lalu (Sabtu) pada pukul 3.18 petang secara normal.

Dhaniyah telah mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Mohd Razishahriman Sabari pada 8 Ogos 2015.

Didie dikurniakan lima anak hasil perkahwinan terdahulu dengan pelakon Ridzuan Hashim.

Mereka adalah Dhaniyah, Muhammad Daniel, Nur Dania, Nur Diyana dan Nur Dayini.