PENYANYI Amerika Syarikat, Chris Brown ditahan polis di West Palm Beach, Florida, lewat Khamis setalah satu waran dikeluarkan.

Bagaimanapun Brown, 29 tahun, dibebaskan selepas membayar bon berjumlah AS$2,000 (RM8,000), kata Pejabat Sheriff County Palm Beach.

Laporan media tempatan berkata, Brown telah ditangkap selepas selesai membuat persembahan di sebuah konsert Heartbreak dalam jelajah di West Palm Beach.

Jurucakap polis di Tampa berkata bahawa jabatan itu telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Brown susulan kejadian pada April apabila dia didakwa menumbuk seorang individu di kelab malam.

Peguam penyanyi itu bagaimanapun tidak memberi apa-apa kenyataan setakat ini.

Brown dijadual akan membuat persembahan di Tampa pada Jumaat.

Penangkapan pada Khamis malam adalah kesalahan undang-undang terbaru yang dilakukan penyanyi itu.

Pada 2016, dia ditangkap di Los Angeles selepas didakwa seorang wanita bahawa Brown telah menuding pistol ke arahnya, walaupun peguamnya berkata pada masa itu tiada senjata telah dijumpai.

Brown menafikan sebarang kesalahan.

BACA: Chris Brown disiasat atas dakwaan pukul seorang wanita di Las Vegas

Brown juga sebelum ini pernah didakwa dan mengaku bersalah kerana menyerang dan memukul penyanyi terkenal Rihanna pada 2009.

BACA: Chris Brown dipenjara atas kesalahan langgar syarat percubaan

Brown dijangka bakal keluar dengan lagu duet terbarunya bersama penyanyi Indonesia Agnes Monica pada 20 Julai ini.