Bersempena cuti persekolahan yang akan bermula pada 25 November ini, ibu bapa boleh membawa anak-anak menonton teater muzikal komedi 'Aladdin Reloaded' dipentaskan di PJ Live Arts Theatre, Jaya One, Petaling Jaya dari 2 hingga 11 Disember ini.

Menurut seorang daripada pelakonnya Tria Aziz, persembahan teater berbahasa Inggeris dipentaskan bagi tahun kedua itu akan menghiburkan penonton menerusi jalan ceritanya yang sarat dengan elemen komedi dan nilai-nilai murni.

"Teater ini mengenai budak bernama Aladdin yang jatuh cinta dengan seorang puteri dan Aladdin juga sentiasa berusaha mendapatkan apa sahaja yang dihajati," katanya kepada Bernama selepas ditemu bual Bernama Radio dalam program Ala Carte Pagi oleh juruhebah Raifa Zulkifli, di sini hari ini.

Pelakon membawakan watak 'The Genie of The Ring' itu berkata penonton yang mengenakan pakaian mengikut tema teater turut berpeluang menerima hadiah bersempena pementasan itu.

Seorang lagi pelakon, Rashid Salleh, yang membawa watak 'Widow Twanky', berkata pementasan teater terbitan Enfiniti Vision Media dan Enfiniti Academy itu akan menggunakan ayat bahasa Inggeris ringkas, sekali gus mudah difahami semua lapisan masyarakat.

Selain Tria dan Rashid, teater arahan Joanna Bessey itu turut membariskan pelakon, antaranya Jayson Phuah membawakan watak 'Aladdin' dan Peter Davis selaku 'The Evil Wizard Abanaza.'

Mereka yang ingin menonton boleh melayari laman sesawang www.tix.my untuk pembelian tiket berharga RM43 sehingga RM123 atau menghubungi 03-7960 0439.

-- BERNAMA