Sejak bergelar seorang ibu, penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza ternyata teruja untuk menyambut Aidilfitri bersama puteri sulungnya buat pertama kali.

Selepas beraya berdua bersama suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa selama 12 tahun, Hari Raya ini sangat istimewa buat pasangan ini.

Menurut Siti, pelbagai perancangan telah dilakukan sempena menyambut musim perayaan tahun ini bersama anaknya, Siti Aafiyah.

“Kami sangat teruja untuk beraya bersama Aafiyah kerana sudah 12 tahun kami beraya berdua. Tahun ini macam-macam perancangan yang telah dilakukan.

“Dari segi busana pilihan semasa raya, saya sudah tempah empat pasang bajunya yang akan sedondon dengan saya.

“Bagi baju kasual pula, pelbagai hadiah dari peminat sudah kami terima, saya juga tidak mahu membazir, jadi Aafiyah juga akan memakai hadiah-hadiah tersebut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Single 'Cinta Syurga' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, Siti memaklumkan bahawa mereka sekeluarga akan pulang ke kampung suaminya di Kedah dan kampungnya di Kuala Lipis pada Hari Raya ini.

BACA: Siti Nurhaliza tak sabar bawa Aafiyah balik kampung beraya

Siti Nurhaliza melahirkan Siti Aafiyah dengan berat 3.55 kilogram pada kira-kira pukul 8.17 pagi 19 Mac lalu di sebuah hospital swasta secara pembedahan.