BINTANG Gema Gegar Vaganza (GGV2), Fitri Haris meluahkan kekecewaan terhadap segelintir netizen yang mengkritik persembahannya setiap minggu.

Kata Fitri menerusi sebuah entri di Instagram, dia menerima setiap kutukan dan penghinaan yang dilemparkan terhadapnya dengan hati terbuka.

"Terima kasih atas penghinaan dan kutukan dilemparkan kepada saya, apa jua saya langkah dan lakukan tiada nampak kebaikan di mata yang menghina.

"Saya terima dengan hati yang terbuka.

"Saban minggu saya cuba dari segala sudut persembahan dan nyanyian pelbagai genre, watak dan penampilan.

"Saya sedaya upaya berperah keringat dan buah fikiran mahu memberikan yang terbaik walaupun saya tahu saya bukanlah yang terbaik," tulis Fitri.

Fitri juga memohon maaf sekiranya usahanya tidak disenangi oleh pihak tertentu.

"Jika tiada langsung manfaat, saya betul-betul minta maaf.

"Jika usaha saya tidak disenangi mana-mana pihak saya minta maaf. Moga Allah beri yang terbaik kepada semua," tambahnya.

Saya terima dengan hati yang terbuka.

Persembahan Fitri pada konsert suku akhir GGV2 menerusi lagu Hati Emas berduet bersama Lan Solo minggu lalu berjaya menduduki tangga ketiga selepas Adeep Nahar dan Awi Rafael.

Bagaimanapun, persembahan Fitri mendapat sambutan kurang memberangsangkan daripada netizen yang mengkritik daripada konsep dan pakaiannya.

Namanya semakin menjadi bualan apabila Fitri bakal menyanyikan lagu Di Mata Mu (Sufian Suhaimi) untuk konsert separuh akhir GGV2 minggu hadapan.

GGV2 bersiaran secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada setiap Sabtu, pukul 9.00 malam serta boleh ditonton di Astro Oasis (saluran 106) dan Astro Maya HD (saluran 135).

Konsert minggu keenam GGV2 bakal membawa tema Gegar Gema Impian dan 8 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.

Jika anda terlepas menonton konsert minggu GGV2 atau ingin mendapatkan segala informasi mengenai GGV, klik ---> GemaGegarVaganza.

Teks oleh: Amri Hassan