LEMBAGA Penapisan Filem (LPF) membenarkan tayangan filem Power Rangers, biarpun terdapat kerisauan sesetengah pihak berhubung salah satu babak dalam filem itu.

Portal The Star Online melaporkan, jurucakap TGV Pictures memberitahu filem itu sudah melepasi sesi saringan dan tidak mempunyai masalah untuk ditayangkan.

Ia diberikan rating P13 dan akan ditayangkan tanpa sebarang suntingan.

Satu kemas kini status di akaun Twitter TGV Cinemas sekitar jam 11 pagi tadi mengesahkan tiada penangguhan tayangan filem itu setakat ini.


Pemerhatian di laman web TGV mendapati filem itu tiada dalam senarai filem yang akan ditayangkan, namun dijangka akan mengeluarkan waktu tayangan terkini selewatnya malam ini.


Filem itu sebelum ini mencetuskan kontroversi yang hampir sama dengan filem Beauty and the Beast apabila memperkenalkan watak superhero lesbian buat kali pertama di layar perak.

Watak Yellow Ranger, Trini (lakonan Becky G) dilaporkan menghadapi kekeliruan seksual.

Power Rangers dijadualkan akan mula ditayangkan Khamis ini.