BARU sahaja mengumumkan kembali dari cuti rehat, adakah kemungkinan BTS akan berehat kembali?

Terbaharu, pihak ketenteraan Korea Selatan telah mengesahkan anggota kumpulan BTS yang dianggotai oleh Jungkook, RM, Suga, V, Jimin, Jin dan J-Hope tidak akan terkecuali daripada menjalani latihan khidmat ketenteraan.

Mereka dikatakan tetap akan menjalankan program tersebut sama seperti individu lain di negara itu.

Memetik laporan media antarabangsa, kenyataan rasmi berhubung latihan khidmat kententeraan melibatkan kumpulan terkenal itu akan diumumkan hujung bulan ini.

Menurut pihak tentera negara itu, pengecualian boleh diberikan namun ia hanya kepada individu yang menyumbang khidmat bakti kepada negara tersebut.

Sebagai contoh, pengecualian boleh diberikan kepada atlet yang pernah memenangi pingat emas untuk Korea Selatan atau selebriti yang pernah mengharumkan nama negara menerusi pertandingan di peringkat dunia.

Sebelum ini timbul perdebatan berhubung isu pengecualian BTS dalam menjalani latihan khidmat ketenteraan di negara itu.

Ini kerana kumpulan BTS dilihat sudah banyak kali mengharumkan nama negara tersebut di peringkat global.

Ia sekali gus menimbulkan desas-desus bahawa BTS bakal menjadi kumpulan pertama menerima pengecualian itu apabila mereka banyak mempromosikan budaya Korea.

Jin dan Suga dijangka akan mula mendaftarkan diri dan menjalani latihan mulai tahun depan.

Ia kemudiannya disusuli dengan Rap Monster, J-Hope, Jimin, V dan diakhiri oleh anggota termuda dalam kumpulan itu, Jungkook.