Pengarah dan penerbit Ola Bola Musical, Puan Seri Tiara Jacquelina, berharap berpeluang mementaskan naskah itu buat musim kedua.

Bukan hanya kerana nilai sentimentalnya, tetapi lebih daripada itu, Tiara memasang impian ia ditonton oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Memang saya berhasrat untuk mementaskan Ola Bola the Musical untuk musim kedua. Ia satu naskah yang mempunyai tempat istimewa di hati saya kerana itulah kali pertama saya mengarah teater.

"Tetapi bukan itu sahaja, saya juga memasang impian yang sangat besar agar pementasan kali kedua itu akan turut ditonton oleh Perdana Menteri.

"Ola Bola sebuah kisah masyarakat Malaysia. Semangat penyatuan yang ada dalam cerita itu sesuatu yang luar biasa dan tentunya satu penghormatan jika ia dipentaskan buat kali kedua, ditonton pula oleh Tun Mahathir," kata Tiara.

Beliau bagaimanapun belum dapat memberi kata putus bila musim kedua itu akan dipentaskan.

Ketika kali pertama dipentaskan di Istana Budaya dari Februari hingga Mac lalu, adaptasi filem Ola Bola itu menerima sambutan sangat baik, malah turut ditonton oleh ramai tokoh kepimpinan negara.

Tiara ditemui pada majlis Bicara Santai Anak Seni bersama Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Kira-kira 120 penggiat seni hadir ke sesi sejam itu yang diadakan bertujuan membincangkan permasalahan anak seni dan cara menanganinya.