PENYANYI dan pelakon Fauziah Latiff berkongsi pengalaman mengenai kru produksi diganggu ketika menjalani penggambaran telefilem Korban Penunggu Hospital.

Memetik laporan Mstar, Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff, 48, berkata dia hanya mengetahui kejadian aneh yang berlaku itu selepas tamat penggambaran.

"Penggambaran telefilem itu berjalan di hospital, bangunan dan rumah lama. Alhamdulillah sepanjang penggambaran saya tak lalui pengalaman aneh atau menakutkan.

"Tapi selepas selesai penggambaran, barulah kru produksi bercerita yang mereka pernah 'diganggu'.

"Tiba-tiba walkie-talkie yang mereka gunakan itu ada kedengaran orang menggilai," katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah Bintang Popular Berita Harian 31 (ABPBH31) di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Telefilem yang menampilkan barisan pelakon baharu iaitu Aprena Manrose, Fatin Afeefa, Andi Bernadee dan Jaa Suzuran selesai penggambaran pada awal September lalu.

Dalam pada itu, Fauziah menerima tawaran berlakon semula selepas enam tahun disebabkan ingin mencabar diri membawa watak yang berbeza.

Selain itu, jalan cerita telefilem tersebut juga telah menarik minat penyanyi lagu Setia Ku Korbankan ini.

"Masa saya sangat terhad. Jadi, hanya boleh terima tawaran untuk telefilem sahaja. Salah satu sebab saya terima kerana jalan cerita telefilem itu.

"Berbelakangkan kisah seram dan sangat mencabar. Selain itu, watak sebagai Kesuma itu juga adalah sesuatu yang lain daripada watak saya sebelum ini.

"Sudah tiba masa untuk saya cuba ambil watak yang mencabar dan jauh berbeza dengan saya," ujarnya.
Telefilem terakhir lakonan Fauziah menerusi telefilem Ke Pintu Bahagia yang ditayangkan pada tahun 2012.