PELAKON Adlin Aman Ramlie akui dirinya diperangkap oleh sebuah syarikat pelaburan tidak sah yang ingin mengaitkan namanya sebagai salah seorang suspek dalam kes terbabit.

Adlin, 44, berkata dia tidak ditahan reman selama empat hari seperti yang dihebahkan di media sosial.

"Di sini saya ingin jelaskan bahawa saya tidak ditahan reman seperti yang didakwa.

"Sebaliknya saya dilepaskan dalam tempoh 24 jam dengan jaminan polis.

"Saya diperangkap, dikambinghitamkan oleh sebuah syarikat pelaburan yang hanya ingin menggunakan nama saya.

"Memang benar pegawai penyiasatan hadir ke rumah pada 20 Julai jam 2.30 petang dan mereka meminta saya ke balai polis untuk membantu siasatan.

"Tidak ada berlaku sebarang kekasaran atau paksaan sewaktu mereka meminta saya ke balai, segalanya berjalan dengan lancar," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar khas yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama sebentar tadi.

Bagaimanapun Adlin memberitahu pernah terlibat dalam majlis yang dianjurkan oleh syarikat terbabit sebagai penceramah jemputan.

"Saya akui memang kenal dengan kebanyakan nama yang disenarai sebagai suspek kerana sebelum ini saya sering hadir ke majlis yang dianjurkan oleh pihak berkenaan.

"Cuma saya tidak tahu kenapa nama saya dikaitkan dalam kes ini.

"Sebab itu saya tidak mempunyai sebarang masalah ketika dipanggil polis untuk membantu siasatan.

Mengulas mengenai kes tersebut, Adlin memberitahu ia masih lagi dalam siasatan.

Terdahulu, media melaporkan Adlin bersama beberapa individu lain telah ditahan polis kerana dipercayai terlibat dalam penipuan hartanah.

Adlin juga dikatakan telah ditahan reman selama empat hari bermula 20 hingga 24 Julai 2016.