IDOLA remaja dan bintang pop dari Kanada, Justin Bieber dilapor menolak tawaran US$5 juta, yang tertinggi pernah diterimanya untuk tempoh sehari bagi membuat persembahan di majlis anjuran Parti Republikan Amerika Syarikat di Konvensyen Grand Old Party (GOP).

Memetik sumber TMZ, meskipun memberi jaminan persembahan itu tiada kaitan dengan politik ataupun perlu membuat sebarang kenyataan kepada calonnya Donald Trump dan GOP, tawaran itu tetap ditolak pengurus penyanyi berusia 22 tahun itu.

Berdasarkan sumber itu juga, agensi bakat CAA yang mewakili pihak Bieber memaklumkan menerusi kontrak tersebut Bieber perlu membuat persembahan di konvensyen itu selama 45 minit.

Jumlah US$5 juta itu akan disalurkan menerusi sumbangan GOP.

Bayaran pendahuluan akan diberikan sebelum ketibaan Bieber jika bersertuju. Manakala kos produksi pula akan ditanggung sepenuhnya oleh pihak yang sama.

Jika penyanyi yang sibuk mempromosikan single terbaharunya "Cold Water" ini menerima tawaran itu, ia menjadi bayaran paling tinggi pernah diterimanya.

Selain itu juga, antara sebab kenapa Bieber tidak berminat untuk hadir adalah kerana dia berasal dari Kanada.

CAA, dalam reaksinya, tetap menyifatkan semua yang berlaku di konvensyen itu adalah 100 peratus berunsurkan politik.