VOKALIS kumpulan Exists, Mamat mengakui, dia semakin terbuka untuk berkawan dengan ramai wanita.

Menurut Mamat, dia tidak pernah serik untuk berkahwin lagi namun mengakui lebih berhati-hati dalam mencari calon isteri.

"Saya memang terbuka untuk berkawan dengan ramai wanita tetapi hubungan sekadar kawan dan tidak lebih daripada itu.

"Saya tidak serik untuk berkahwin lagi namun sekarang ini lebih berhati-hati dalam memilih calon isteri yang sesuai dengan saya," kata Mamat menyuarakan hasrat hatinya.

Penyanyi yang memiliki suara emas itu sebelum ini jarang bercerita secara terbuka mengenai kisah peribadinya.

Namun, kali ini, Mamat atau nama sebenarnya, Mohd Ali Kamarudin, 41, tidak lagi berselindung.

Mamat yang sangat masyhur dengan lagu Untukmu Ibu mengakui, pada masa ini dia mengenali beberapa wanita namun semuanya sekadar kenalan semata-mata.

"Biarlah saya hidup solo dulu sekarang kerana saya mahu memberi fokus pada kerjaya dan karier nyanyian," katanya kepada Astro Gempak.

Mamat berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Konsert Exists Reunion, di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, Mamat pernah berkahwin dengan Marshila Mustapa Kamal pada 2001 tetapi bercerai pada 2009.

Hasil perkahwinan dengan Marshila, mereka dikurniakan tiga anak iaitu Aleeya Mysara, 17; Mohd Eiki Daniell, 15, dan Dylea Mysara, 13.

Sementara itu, Mamat bersama anggota Exist akan mengadakan konsert Reunion pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam dan di Mes Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Himpunan reunion ini akan menggabungkan semua anggota asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket akan dijual pada harga RM 700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.