Pelakon Broadway, Nick Cordero meninggal dunia pada Ahad selepas tiga bulan dirawat akibat jangkitan COVID-19.

"Saya masih tidak percaya. Sukar membayangkan hidup tanpanya," kata isteri Cordero, Amanda Kloots, dalam satu kemas kini di Instagram.

Cordero, 41, mula mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami gejala virus berkenaan pada 30 Mac.

Dia terpaksa diberi bantuan pernafasan dua hari kemudian.

Kloots memaklumkan suaminya tidak mempunyai masalah kesihatan lain namun jangkitan itu menyebabkan Cordero mengalami dua strok kecil dan kejutan septik.

Pelakon yang pernah tercalon dalam Tony Awards itu terpaksa diletakkan dalam keadaan koma dan kaki kanannya dipotong.

CBS News minggu lalu melaporkan Cordero mungkin memerlukan pemindahan paru-paru untuk membolehkannya menjalani hidup normal.

Antara pementasan Broadway yang pernah dibintangi Cordero ialah "Waitress," "A Bronx Tale" dan "Bullets Over Broadway."

Dia juga pernah muncul di kaca televisyen, memegang peranan pembantu dalam siri "Blue Bloods" dan "Law & Order: Special Victims Unit", selain turut membintangi filem "Going in Style."