Tiket untuk menyaksikan pementasan istimewa D’State of D’Nation Telethon telah pun habis dijual, ujar aktivis teater tersohor Jo Kukathas kepada Astro AWANI.

Persembahan tersebut bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Disember depan di Damansara Performing Arts Center (DPAC) yang terletak di Damansara Perdana.

“Saya agak terkejut apabila tiket untuk menyaksikan pementasan ini habis sebelum hari pementasan. Ada 2 minggu lagi sebelum pementasan. Kebiasaannya orang Malaysia akan menunggu sehingga saat terakhir untuk membeli tiket. Seluruh produksi sangat gembira dengan berita ini,” tambah Jo Kukathas sewaktu dihubungi Astro AWANI.

Dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-26 kumpulan teater tersohor Instant Café Theater (ICT), pementasan bakal mengimbau kegemilangan teater komedi dan satira klasik yang pernah dipertontonkan sebelum ini dengan menyelitkan jenaka-jenaka terbaharu yang berlaku di negara sejak kebelakangan ini.

"Pementasan ini yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun 2.6 dekad ICT akan bertanya soalan-soalan penting tentang negara ini. Adakah ia semakin memburuk atau pun menjadi semakin lucu. Kami berada di dalam industri seni ini untuk mengingatkan penonton tentang kegemilangan dulu. Kami ajak semua pencinta teater untuk sama-sama menyelamatkan negara. Marilah sertai acara penting ini!" tambahnya lagi.

Antara penggiat teater yang terlibat termasuk Jo Kukathas, Zahim Albakri, Jit Murad, Andrew Leci, Shanthini Venugopal, Indi Nadarajah, Sandra Sodhy, Chacko Vadaketh, Na’a Murad, Paula Malai Ali, Patrick Teoh, David Gomes, Rashid Salleh, Junji Delfino, Edwin Sumun, Kam Raslan, Afdlin Shauki, Maya Tan Abdullah, Joanna Bessey, Manesh Nesaratnam, Reshmonu, Sean Ghazi, Ghafir Akbar, Gavin Yap, Tria Aziz, Zalfian Fuzi, Ayam Fared, Gan Hui Yee, Kuah Jenhan dan Safia Hanifah untuk hari pementasan yang berbeza.

Tiket bagi menyaksikan pementasan ini berharga RM60 dan RM100.

Namun demikian, penonton masih berpeluang untuk hadir ke malam gala pementasan tersebut.

“Tiket untuk malam gala lebih mahal dan istimewa kerana dengan dengan harga yang dibayar penonton kami akan gunakan untuk membayar penggiat teater yang terlibat. Kami harap kesemua tiket ini juga akan habis dijual dalam sedikit masa lagi.” ujar pengarah teater yang dikenali menerusi teater AirCon, Nadirah dan Parah.

Harga tiket untuk menyaksikan persembahan gala “Gila Gala Reunion” berharga RM1000, RM500 dan RM250 dan masih boleh dibeli di laman web Instant Cafe Theater.

Malam gala bakal berlangsung pada 1 Disember depan di Dewan Sivik Petaling Jaya.

Jangan ketinggalan untuk hadir ke Malam Gila Gala Reunion yang bakal berlangsung pada 1 Disember depan.