KUALA LUMPUR:Penganjur Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kesal dengan tindakan pelakon, Shaheizy Sam yang menggantung rokok elektronik (e-rokok) atau vape pada leher ketika mengumumkan pemenang pada malam  acara itu malam tadi.

Portal Berita Harian melaporkan, semua artis yang terlibat pada malam itu telah diberi penerangan mengenai tata susila dan etika berpakaian bukan sahaja ketika menghadiri majlis malah ketika menjadi penyampai trofi.

"Adalah menjadi tanggungjawab setiap artis untuk memastikan tingkah laku mereka tidak mendatangkan persepsi negatif kepada acara yang dihadiri sekali gus boleh menjejaskan imej artis-artis lain serta industri hiburan secara am," kata penganjur acara itu.

BACA : "Maafkan saya, ini kecuaian sendiri" - Sam mengaku silap gantung vape di leher


Memetik jurucakap penganjur, tidak kira apa alasan yang diberikan, Sam yang pernah memenangi gelaran Bintang Paling Popular ABPBH sebanyak tiga kali iaitu pada edisi 2010, 2012 dan 2014 dan sebagai artis berpengalaman, dia sepatutnya lebih peka dalam menghormati pihak penganjur, artis-artis lain dan industri hiburan serta penonton di rumah.

"Penganjur sudah berkerja keras untuk memastikan acara lancar serta mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), malangnya insiden ini mencalarkan kredibiliti ABPBH 33," kata penganjur acara itu  yang kesal dengan tindakan pelakon berkenaan.

Tindakan Sam menggantung vape di leher turut mendapat perhatian pertubuhan Public Health Malaysia yang mempersoalkan bagaimana perkara tersebut boleh dilepaskan untuk tayangan umum di televisyen.


Sam tampil dalam majlis ABPBH untuk mengumumkan pemenang bagi kategori Artis Baharu Wanita Popular, Artis Baharu Lelaki Popular serta Artis Kolaborasi/Duet/Berkumpulan Popular di Axiata Arena, Bukit Jalil.