Penyanyi Amelina mengakui teguran daripada Ketua Juri, Datuk Ramli MS semasa sesi latihan Gegar Vaganza (GV) 5 menjadi salah satu faktor yang membuatkan dia berjaya memberi persembahan terbaik dalam konsert pembukaan, Ahad lalu.

Kata Amelina, berbeza dengan persembahan pentas biasa, dia lebih berhati-hati dalam persembahan untuk televisyen, namun perkara itu tidak disenangi Ramli yang menganggap Amelina tidak bersungguh-sungguh dalam persembahan.

"Datuk Ramli tanya, kenapa persembahan saya tidak seperti biasa? Beliau minta saya buat all out kerana katanya, itu pentas saya. Saya perlu jadi queen di atas pentas, jadi itulah saya lakukan," kata Amelina.

Ratu dangdut itu itu berjaya menduduki tempat teratas pada konsert pertama menerusi rangkaian lagu-lagu popularnya, Asyik dan Rindu.

Amelina juga sudah bersedia menyahut cabaran menyanyikan lagu yang mempunyai genre berbeza daripada kebiasaannya.

"Saya akui ada juga rasa gementar kerana saya sudah terbiasa dengan lagu-lagu berentak rancak dan happy. Peminat juga sudah biasa melihat persembahan saya seperti itu.

"Dalam GV, ada kemungkinan saya perlu menyanyikan lagu balada walaupun itu bukan genre saya. Tetapi sebagai penyanyi, kita perlu ada kemampuan untuk menghayati karakter lagu yang pelbagai.

"Insya Allah, saya cuba berikan yang terbaik," janjinya.

Gegar Vaganza musim kelima bersiaran setiap Ahad di Astro RIA dan RIA HD, jam 9 malam.