“LIHATLAH dengan hati, kerana hati sentiasa berkata benar.”

Demikian luahan pengarah filem "Redha", Tunku Mona Riza ketika ditanya mengenai pesanan kepada bakal penonton filemnya.

Filem yang diinspirasikan dari kisah benar itu menceritakan pengalaman pasangan suami isteri, Razlan (lakonan Namron) dan Alina (Junainah M. Lojong) membesarkan anak mereka yang menghidap autisme.

Tunku Mona bersama-sama dengan unit media sosial Astro AWANI di Facebook Messenger baru-baru ini untuk berkongsi mengenai buah tangannya, "Redha".

Berikut ialah petikan temu bual tersebut:

AWANI: Autisme semakin mendapat perhatian dalam kalangan masyarakat Malaysia, terutamanya kalangan ibu bapa yang sering berusaha mencari cara terbaik mendidik anak yang menghidap autisme. Bagaimana REDHA memainkan peranan dalam aspek ini?

MONA: Pada permulaan filem Redha, saya tidak menekankan tentang pendidikan semata-mata. Sebab ibu bapa dalam filem ini tidak tahu sangat tentang autisme. Apa yang saya gambarkan ialah usaha seorang ibu mencari “jawapan” kepada anaknya.

AWANI: Apa pengalaman yang paling Mona ingati ketika bekerjasama dengan pelakon ternama seperti Namron dan Nadiya Nisaa?

MONA: Mereka sangat berdisiplin, dan paling penting, faham cerita dan skrip. Mereka sendiri berjumpa dengan kanak-kanak autistik sebelum penggambaran. Mereka bukan berlakon, namun benar-benar menjadi karakter itu. Saya terharu.

Satu lagi, isteri Namron (Junainah) dan Nadiya memang seiras. Selepas banyak kali saya pujuk, dia setuju untuk berlakon sebagai Alina, isteri Razlan. Junainah dan Nadiya jadi adik-beradik dalam filem ini.

AWANI: Redha diinspirasi dari kisah benar. Boleh Mona kongsikan serba sedikit tentang latar belakang kisah itu?

MONA: Semua insiden dalam Redha berasal dari kisah yang saya dapat ketika bertemu dan berbual dengan beberapa keluarga yang ada kanak-kanak autistik. Sepanjang kajian saya, ada dua keluarga yang saya betul-betul rapat. Karakter Danial diasaskan daripada dua anak autisme - Yong Wei Xiang dan Hilman.

AWANI: Bagaimana Mona melihat persembahan Harith dan Izzyreef yang memainkan watak penghidap autisme, Daniel dalam REDHA?

MONA: Saya sangat gembira. Mereka sanggup bersama-sama dengan penghidap autisme Wei Xiang selama tiga bulan setengah. Mereka tiru apa yang Wei Xiang buat. Wei Xiang tidur atas lantai pun mereka ikut sama. Mereka juga hadir ke 20 kelas berenang sebagai langkah keselamatan sebab ada babak di tengah laut.

Paling penting, saya mahu keluarga yang mempunyai anak autisme melihat watak Daniel sebagai anak autisme sebenar dan bukannya pelakon. Harith dan Izzy berjaya melakukannya.

AWANI: Apakah pesanan Mona kepada para peminat filem tempatan sempena tayangan REDHA 14 April nanti?

MONA: Tontonlah keluarga ini nanti dengan hati, kerana hati kita selalu berkata benar. Terima kasih.

Redha - Viral Trailer BM SUPERS with ENG SUB

Our official viral trailer in our effort to raise the Autism awareness through 'Redha' please help support our cause. Redha will be out in cinemas coming 14th April 2016 and it will have English & Mandarin subtitles...please asked family and friends to come and watched Redha n understand something about Autism. Please share and viral this. Thanks all❤️

Posted by REDHA on Monday, February 2