Trailer filem KL Gangster 2, filem yang paling dinantikan tahun ini didedahkan kepada umum hari ini. Filem arahan Syamsul Yusof itu bakal ditayangkan di seluruh Malaysia mulai 3 Oktober depan.

Filem drama aksi itu dibintangi oleh Aaron Aziz, Zizan Razak, Adi Putra, Sofi Jikan, Rosyam Nor, Ridzuan Hashim dan Syamsul sendiri serta ramai lagi.

KL Gangster 2 menelan belanja sebanyak RM4.5 juta dan bakal ditayangkan di lebih 100 pawagam seluruh Malaysia dan Singapura.

Filem itu merupakan prekuel kepada filem KL Gangster yang mengisahkan kehidupan Malek lakonan Aaron Aziz sebelum dimasukkan ke dalam penjara dan bagaimana Malek dan adiknya, Jai (Adi Putra) terjebak dalam dunia gangster.


Filem itu juga menyaksikan kembalinya pelakon terkenal Rosyam Nor kembali ke layar filem aksi setelah kali terakhir terlibat dalam filem aksi menerusi filem Castello.

Filem KL Gangster 2 diterbitkan oleh Skop Productions dan Grand Brilliance.

Sebelum ini, filem KL Gangster berjaya mengutip RM11.74juta di pawagam sewaktu ditayangkan pada Jun 2011. Pada hari pertama tayangannya, filem itu berjaya mengutip RM1.5 juta dan mencecah angka RM6.2 juta pada minggu pertama tayangannya mengatasi filem-filem Barat antaranya X-Men: First Class dan Kung Fu Panda 2.

Di Festival Filem Malaysia ke 24, filem tersebut berjaya meraih trofi dalam kategori Pengarah Terbaik (Syamsul Yusof), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Soffi Jikan), Lakon Layar Terbaik (Syamsul Yusof), Suntingan Terbaik (Syamsul Yusof), Penataan Bunyi Terbaik dan anugerah juri Filem Box-Office.