"Bersatu padu tanpa kira warna kulit dan kepercayaan."

Demikian petikan bait sajak yang dideklamasi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melalui video muzik 'Anak Bangsa Malaysia' nyanyian Hazama.

Dr Mahathir muncul di penghujung video muzik yang berdurasi 4 minit 10 saat itu, dengan mendeklamasikan sajak tiga rangkap yang membawa mesej buat seluruh rakyat Malaysia.

Video muzik tersebut menunjukkan Hazama sebagai seorang chef, bersama dua individu lain, sedang menyediakan makanan untuk dihidangkan kepada pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa.

Kepelbagaian menu yang disajikan juga, mewakili pelbagai kaum dan bangsa, dipercayai sebagai simbolik kepada penyatuan atau perpaduan kaum yang boleh dizahirkan menerusi pelbagai cara termasuk ketika menikmati makanan.

Sajak yang ditulis oleh Tun M dalam muzik video Anak Bangsa Malaysia

Video tersebut juga menunjukkan bagaimana masyarakat dahulu berkumpul dan menikmati juadah bersama di sebuah gerai.

Selepas 14 jam dimuat naik di laman Facebook rasmi Dr Mahathir, muzik video tersebut telah mendapat 130,000 tontonan serta 635 perkongsian.