PENGACARA popular Fara Fauzana berkongsi pengalaman mencemaskan di tol Subang menuju Shah Alam baru-baru ini.

Kejadian itu berlaku apabila sebuah kenderaan yang tersangkut dalam kesesakan jalan raya tidak bergerak dan keadaan pemandunya sedang menunduk ke bawah.

"Dalam asyik melayan lagu alih-alih orang kiri kanan pakat tekan hon. Dah kenapa kereta depan tu tak nak jalan?

"Kereta depan dia dah bergerak tetapi dia statik sahaja.

"Bila tengok pemandunya asyik tunduk ke bawah. Jadi, saya tekan hon kuat-kuat tetapi dia tetap tak bergerak.

"Saya buka tingkap dan jerit, uncle! uncle! Tetap tunduk tak bergerak.

"Kalau dia tidur, itu normal sebab penat. Kalau dia pengsan? Atau lebih buruk sakit jantung dan...," cerita Fafau.

Fafau kemudiannya keluar daripada kenderaannya untuk memeriksa keadaan pemandu itu.

"Saya terus tekan double signal, keluar dari kereta pergi dekat uncle itu dan ketuk tingkap tetapi dia tidak bergerak.

"Saya ketuk lagi, kuat sikit. Akhirnya dia angkat kepala macam orang baru sedar.

"Are you okay uncle? Dua kali ulang baru dia respons.

"Tak kelakar! Nasib baik dia tidur. Kalaulah dia sakit jantung dan tidak sedarkan diri dalam keadaan sesak teruk itu, saya tidak tahu.

"Mungkin selepas ini kalau kita nampak orang depan tidak gerak tolong jangan marah-marah. Mungkin dia perlukan kita untuk selamatkan dia daripada lebih parah," pesan Fafau lagi.

Perkongsian mendebarkan Fafau itu mendapat respons netizen yang berpesan sesama sendiri untuk lebih prihatin dan berhati-hati di jalan raya. - Teks oleh: Amri Hassan