"TAK payah risau atau terlalu sibuk hitung urusan orang lain."

Itu reaksi bekas ahli kumpulan nasyid In-Team, Suhaimi Saad, yang dikritik netizen selepas dikatakan mengamalkan kehidupan yang terlalu zuhud.

Lebih-lebih lagi, pada bulan puasa lalu, dia sendiri memuat naik selfie, bersama anak-anaknya yang meminta sedekah di bazar Ramadan.

Dalam status terbaharu yang dimuat naik itu pada Selasa, Suhaimi memberikan reaksi agar individu yang memperkatakan tentang kehidupannya, supaya memperbanyakkan lagi amalan bagi bekalan di akhirat kelak.

Suami kepada Nordiana Mohd Naim atau lebih dikenali sebagai Ina Naim itu juga ‘berharap agar kehidupan orang yang mempertikaikan cara hidupnya diberi hidayah dan diampuni Allah’.

Netizen berkata, mereka tidak kisah mengenai pilihan Suhaimi untuk tidak memiliki peralatan elektrik dan perkakasan lain di rumah, tetapi biarlah memberikan anak mereka kehidupan seperti kanak-kanak lain, termasuk mengikuti sistem pendidikan di negara ini.

Sebelum ini, Suhaimi juga memilih untuk tidak memberikan vaksin kepada anak-anaknya.

Menurut satu sumber yang rapat dengan penyanyi berusia 36 tahun itu, yang enggan identitinya didedahkan, meskipun sudah lama mengenali Suhaimi, memang ada perkara mengenai Suhaimi yang sukar difahami.

Insiden meminta sedekah pada bulan Ramadan lalu didakwa berlaku di bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail, di ibu negara.

Bagi seorang peniaga di bazar itu, Arhaban Ismail, mereka anak-beranak meminta sedekah bagi pembangunan insan untuk tahfiz kalangan anak-anak yatim.

Suhaimi juga yang hadir bersama Ina bagi tujuan mengutip derma itu, turut melaungkan azan Maghrib ketika masuk waktu berbuka puasa.