BARU-BARU ini penyanyi Atilia Haron telah memuat naik foto dirinya melakukan senaman yoga sambil menayangkan 'tatu di perut, di akaun Instagram miliknya.

Dalam foto tersebut, Atilia dalam kapsyennya berseloroh meminta peminat berhenti membangkitkan isu pusat hiburan Zouk, dan tularkan tentang dirinya pula.

“Cukuplah dengan isu Zouk... Viralkan I pula please. Minta-minta penuh lah kelas kejap lagi,” tulis Atilia atau nama sebenarnya Raja Puteri Atilia Raja Haron.

Bagaimanapun, Atilia ketika dihubungi Astro AWANI semalam menjelaskan, tatu tersebut bukanlah tulen sebaliknya ia adalah hasil penggunaan aplikasi yang dimuat turun olehnya.

Selain itu, Astro AWANI juga telah membuat semakan di platform media sosial untuk mengetahui sama ada foto yang dimuat naik olehnya itu tular atau tidak.

Menerusi semakan di Twitter didapati posting tersebut tidak trending, namun carian menerusi Google mendapati posting Atilia itu mendapat perhatian beberapa portal hiburan dan blog.

Semakan di Facebook pula mendapati topik itu ada dikongsikan tetapi tidak sehingga menjadi tular.

BACA: 'Viralkan I pula, please' - Atilia Haron tayang 'tatu'

BACA: "Tatu tu edit pakai apps lah!" - Atilia

Sungguh pun begitu, Atilia mengakui gambar tersebut telah mendapat 'like' yang banyak iaitu lebih 1,500 'like' di mana beliau mengakui tidak pernah mendapat jumlah sebanyak itu sebelum ini.

Dalam pada itu, dia juga meminta semua pihak agar tidak terlalu serius mengenai isu itu kerana ia hanyalah gurauan.

"Saya saja-saja buat experiment gunakan aplikasi tu. Orang pun tahu saya ni jenis macam mana. Saya sangat kelakar, fun dan kalau anda tengok akaun Instagram saya, macam itu lah saya di luar," katanya.