PENYANYI dan gitaris utama kumpulan heavy metal terkenal Megadeth, Dave Mustaine dilaporkan terpaksa bertarung dengan kanser tekak yang dihidapinya ketika ini.

Mustaine, 57, tidak menyembunyikan keperitan hakikat tersebut apabila dia turut berkongsi perkhabaran buruk itu dengan peminat.

Ketika ini, beliau telah memulakan rawatan dan dimaklumkan bahawa keupayaannya untuk sembuh adalah 90 peratus.

Disebabkan penyakitnya itu juga beliau terpaksa membatalkan beberapa siri konsert yang sepatutnya diadakan sehingga Oktober nanti.

Bagaimanapun Mustaine tidak keseorangan menghadapi saat getirnya itu apabila ramai rakan artis dan peminatnya memberi sokongan moral kepada beliau.

“Sila bersama saya dalam memberikan kesemua minda positif kepada saudara saya Dave1,” kata Scott Ian daripada kumpulan Anthrax.

Ketika di era popularitinya, Mustaine pernah dikaitkan dengan penyalahgunaan dadah dan masalah alkohol sehingga dia disingkirkan daripada kumpulan asalnya Metallica.

Mustaine dan pemain bass Dave Ellefson adalah dua anggota asal kumpulan Megadeth yang tinggal ketika ini selepas pemain drum Shawn Drover dan pemain gitar Chris Broderick meninggalkan kumpulan itu pada 2014.

Bekas pengganti Shawn pula Nick Menza maut selepas rebah di atas pentas pada Mei 2016.