Pendakwah terkenal, Ebit Lew menyifatkan penyanyi Datuk Awie merupakan seorang yang lembut hati dan baik orangnya.

Dalam muat naik status di Facebook beliau, Ebit berkongsi kisah ketika menziarahi Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman di sebuah pusat perubatan di Ampang di sini.

Menurut Ebit, penyanyi Rock itu baru sahaja pulang daripada jelajah amal bermotor ke 30 masjid di utara tanah air selain sebelum itu menunaikan ibadah Umrah.

"Sebak tengok Dato Awie. Walau sedang sakit di wad beliau masih memberi senyuman dan begitu baik rindukan nasihat yang baik. Baru balik program motor jelajah 30 masjid di utara tanah air dan baru balik Umrah.

"Beliau beri sumbangan di setiap masjid yang beliau pergi. Benarkan semua ujian kerana Allah sayang..beliau berazam untuk beri lebih lagi untuk kerja-kerja dakwah. Allahuakbar. Beliau sangat lembut hatinya dan baik orangnya," tulis Ebit dalam statusnya.

BACA JUGA: Neelofa sebak, Nabil menangis gara-gara Ustaz Ebit Lew


Awie dimasukkan ke sebuah pusat perubatan sejak empat hari lalu selepas mengadu sakit di bahagian atas perut, dada dan belakang badan.

Media bagaimanapun masih belum dimaklumkan berhubung status sebenar tahap kesihatan dan penyakit yang dihadapinya.