Bintang terkenal Hollywood, Will Smith dilapor berhasrat menjadi seorang ahli politik berjaya.

Perkara ini telah diumumkan oleh Smith ketika promosi filem terbarunya, Concussion pada 25 November lalu.

Dalam satu sesi temu ramah bersama Hollywood Reporter, Smith berkata beliau sedang bekerja keras dan bidang lakonannya termasuk memperbaiki cara berkomunikasi, bahasa tubuh serta cara untuk menyampaikan idea semakin baik.

“Jadi, apabila berbicara mengenai politik, saya yakin ada peluang untuk saya mendalami bidang tersebut malah politik mungkin memerlukan saya," kata Smith.

Memetik laporan portal Raw Story, Smith dikatakan berminat dalam bidang politik kerana beliau marah dan kecewa dengan keadaan politik yang semakin meruncing di Amerika.

“Saya tidak boleh tidur memikirkan apa yang sedang berlaku di dunia ini. Saya rasa bahawa pada suatu hari nanti, saya perlu menyuarakan masalah yang dihadapi dengan cara yang agak berbeza demi kesejahteraan negara," katanya lagi.