AKHIRNYA teka-teki mengenai pertunangan Elfira Loy terjawab selepas pelakon itu sendiri mengesahkan dia kini sudah menjadi tunangan orang.

Berita gembira itu didedahkan Elfira menerusi entri terbaharu di Instagramnya dan terkini perkongsian itu telah mendapat lebih 110,662 likes.

“Saya berkongsi dengan anda sekeping foto momen paling bermakna dan istimewa yang berlaku tahun ini.

“Saya sangat gembira, terharu dan tersentuh. Apa yang terbuku di dalam hati , biarlah disimpan dihati. Kerana hati, sudah dimiliki,” tulisnya.

Menerusi ruangan komen, rata-rata pengikutnya mengucapkan tahniah dan tidak sabar untuk melihat Elfira melangkah ke alam perkahwinan.

Antaranya, Shazatul1994, yang mengucapkan tahniah dan berpesan kepada Elfira agar tidak mempedulikan apa pandangan orang lain.

"Tahniah El. Semoga jodoh El panjang. Pedulikan apa orang nak cakap. El diri El,"

Yusulas3_hasheim pula berkata, segala perancangan adalah dari ALLAH (S.W.T) dan mendoakan hubungan mereka dipelihara.

"ALLAH is the best 'planner' (adalah perancang terbaik), congrats (tahniah) adik. Semoga ALLAH memelihara hubungan kamu berdua @elfiraloy, amin,"

Terdahulu, Elfira dilaporkan telah bertunang dalam satu majlis tertutup yang berlangsung di kediamannya.

Bagaimanapun, tiada pihak mengesahkannya perkara itu termasuklah ahli keluarga.

Meskipun tidak menyatakan nama tunangnya itu, difahamkan, jejaka yang dikenali sebagai Muhammad Faris Khairol Anuar itu bertugas sebagai Pengurus Besar di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka di ibu kota.

Elfira sebelum ini pernah bertunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi pada 6 Oktober 2017 namun berakhir pada 18 Februari lalu.