PRESIDEN UFC, Dana White mengesahkan bahawa sudah ada perbincangan mengenai pertarungan di antara bintang sensasi Kanada, Justin Bieber dengan pelakon Hollywood terkenal, Tom Cruise.

Memetik laporan MMA Junkie, White berkata jika perlawanan itu benar-benar menjadi kenyataan, ia akan menjadi 'pay-per-view' (siaran berbayar) terbesar dalam sejarah.

"Jika saya boleh menjadikan pertarungan ini satu kenyataan, saya akan sebuk menguruskannya. Ia akan jadi 'pay-per-view' terbesar dalam sejarah 'pay-per-view'," katanya ketika menjadi panelis persidangan Hashtag Sports 2019, di New York pada Jumaat.

White berkata perbincangan sudah pun dimulakan bagi merealisasikan pertarungan tersebut, sekali gus mengesahkan laporan yang diterbitkan TMZ sebelum ini.

"Memang benar. Walaupun bunyinya macam gila, tapi benar. Saya tidak mahu memetik nama, tetapi semasa saya di rumah Ahad lalu, saya dapat panggilan telefon dari dua nama besar.

"Mereka memberitahu saya, ada kemungkinan ia akan berlaku, dan boleh menjadi kenyataan. Saya seperti tidak percaya ia betul-betul akan berlaku. Tapi jika ya, saya mahu," katanya.

"Siapa yang tak nak tengok? Semua orang nak tengok," tambahnya.

Beberapa minggu lalu, Bieber membuat kejutan apabila mencabar Cruise untuk bertarung dengannya dalam satu perlawanan seni bela diri campuran (MMA) di UFC.

BACA: Justin Bieber cabar Tom Cruise tarung MMA, McGregor pula mahu Wahlberg

Cabaran itu dibuat melalui akuan Twitter miliknya @justinbieber. Dalam Tweetnya itu, Bieber turut menyebut nama Dana White.

"Saya ingin mencabar Tom Cruise untuk bertarung di dalam Octagon. Tom, jika anda tidak mahu bertarung, anda takut dan akan menyesal. Siapa yang sanggup anjurkan pertarungan ini? @danawhite?" tulis Bieber di akuan Twitternya.

Namun rata-rata warga Twitter tidak bersetuju dengan idea tersebut.

Ramai yang membangkitkan faktor usia di mana Bieber baru berusia 25 tahun manakala Cruise pula sudah berumur 56 tahun.