PENERBIT filem, Datuk Yusof Haslam sudah menjangkakan kemenangan apabila berjaya merangkul Anugerah Filem Box Office bagi filem Munafik 2 di malam Festival Filem Malaysia (FFM30) Sabtu lalu.

Menurut Yusof anugerah ini adalah semangat untuk dirinya dan pembikin filem yang lain supaya terus menghasilkan filem sama tahap seperti Hollywood.

"Bagi saya kemenangan ini adalah anugerah motivasi bukan hanya kepada saya tetapi kepada pembikin filem yang lain.

"Namun, bukan untuk bermegah tetapi lebih kepada pembakar semangat supaya terus menghasilkan filem yang mengecapi citarasa penonton.

"Bukan sahaja hanya untuk komersial semata-mata tetapi menghasilkan filem sempurna yang dekat di hati penonton," katanya kepada Gempak.

BACA: Corat-coret Festival Filem Malaysia Ke-30

Yusof ditemui ketika malam Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) yang diadakan di Dewan Plenary, Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Tambah Yusof, dia percaya filem Malaysia mampu mencapai kutipan luar biasa seperti filem Hollywood.

"Saya melihat ramai lagi pengarah serta filem lain yang berjaya seperti filem Hantu Kak Limah dan Paskal.

"Ini menunjukkan industri filem Malaysia mampu mencapai kutipan luar biasa yang selama ini hanya dicapai oleh filem Hollywood.

"Bagi saya adalah lebih bagus apabila ada filem lain yang mampu membuat kutipan lebih tinggi dari Skop Production.

"Ia merupakan satu perlumbaan secara sihat apabila masing-masing berjuang," katanya lagi.

BACA: FFM30 gemilang, namun Sharifah Amani enggan hadir kerana...

Filem Munafik 2 berjaya merangkul Anugerah Filem Box Office dengan jumlah kutipan sebanyak RM 37, 797, 423.00.

Manakala filem One Two Jaga telah dinobatkan sebagai Filem Terbaik FFM30.

Menerusi FFM30, One Two Jaga tercalon untuk 10 anugerah dan berjaya memenangi enam daripadanya.