Berita  |  Hiburan

Zainal tampilkan kelainan dalam konsert 'Musical Journey of Zainal Abidin'

Zainal tampilkan kelainan dalam konsert 'Musical Journey of Zainal Abidin'
Zainal membuat kemunculan istimewa dalam Hari Ini 8 pada Ahad lalu (12 Februari). - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Penyanyi Datuk Zainal Abidin Mohamad, yang terkenal dengan lagu-lagu kemanusiaan dan alam sekitar, akan menampilkan kelainan dan memberi sentuhan istimewa sempena konsert solonya pada 25 Feb.

Konsert 'The Musical Journey of Zainal Abidin: 35th Anniversary Concert' itu akan diiringi kumpulan Headwind, band yang disertainya sejak 1977 sebelum mengorak langkah menjadi penyanyi solo pada tahun 1990, akan diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Saya mungkin akan menangis ketika menyanyi pada malam itu," katanya kepada Bernama mengenai konsertnya yang turut memaparkan perjalanan karier seninya.

Konsert itu akan turut mengimbau kenangan manis bersama idolanya, Allahyarham Tan Sri SM Salim menerusi segmen khas 'tribute', katanya.

"Ia pasti akan menjadi satu momen penuh emosi kerana Allahyarham bukan sahaja mentor saya dalam bidang seni malah hubungan kami sangat rapat bagaikan seorang ayah dan anak," katanya.
"Semasa pemergiannya, saya cukup sebak sehingga tidak mempunyai kekuatan untuk bertemu pihak media, jadi persembahan pada malam 25 Februari ini akan menceritakan apa yang terbuku di hati selepas kehilangan Allahyarham," katanya.

Zainal, 57, berkata beliau akan menyanyikan lagunya, Kau Di Hatiku yang merupakan lagu kegemaran Allahyarham semasa hayatnya pada segmen tersebut.

"Lagu yang bakal dinyanyikan dalam versi akustik itu akan diiringi tayangan video memaparkan kenangan saya bersama Allahyarham dan semestinya ia detik yang mampu membuatkan emosi diri ini tersentuh," kata anak kelahiran Johor itu.

Zainal berkata konsertnya itu akan menyaksikan penyatuan semula kumpulan Headwind yang dianggotainya sebagai vokalis, Zulkif (gitar), Nicky Oii (bass), Kudin (keyboard) dan Razak (dram).

Kumpulan itu akan membuat persembahan pembukaan dengan mendendangkan beberapa buah lagu popular mereka selama 40 minit, antaranya Segalanya Mungkin, Hanya Di Radio, Suraya, Pelangi dan Kita Serupa yang semestinya akan mengimbau kenangan peminat kumpulan itu suatu masa dahulu.

Beliau berkata konsertnya itu akan turut membawa peminat mengenali sisi lain dirinya yang jarang ditonjolkan.

Dikenali sebagai seorang yang berwajah serius di kaca televisyen, Zainal berkata ramai tidak mengetahui bahawa beliau adalah seorang yang suka berlawak.

"Sisi humor diri ini akan ditonjolkan menerusi segmen 'Stand Up Comedy' secara solo selama 20 minit pertama konsert itu, dan saya yakin Harith Iskander akan tergugat melihat kemampuan saya menghiburkan penonton," selorohnya.

Zainal berkata beliau juga akan membuat persembahan solo dengan menyampaikan 17 lagu hitsnya seperti Hijau, Manis, Orak Arek, Puteri, Bongkar, Debu Liar dan Damai diiringi 18 pemuzik tempatan.

"Persiapan untuk konsert ini berjalan lancar dan kini berada di tahap 75 peratus. Sesi latihan bersama Headwind akan bermula Rabu ini selama empat hari, dan selebihnya melibatkan latihan nyanyian solo," katanya.

Sejak melibatkan diri dalam bidang nyanyian, beliau menghasilkan 17 album dengan enam album bersama Headwind, empat album solo, tiga album bersama artis Roslan Aziz Productions, tiga album kompilasi, selain beberapa single.

Peminat boleh mendapatkan tiket yang berharga RM158 hingga RM958 di laman web www.mytickets.asia.

-- BERNAMA