Usaha yang dikerah komposer terkenal Pete Teo bersama pasukannya wajar diberikan pujian. Tanpa dana, idea kreatif tidak akan sekali menemui jalan buntu. Idea terus mengalir, usaha terus dipacu demi negara tercinta, Malaysia.

Sempena Hari Malaysia yang disambut pada 16 September, komposer yang terkenal menerusi lagu tema filem Talentime itu telah menggerakkan dayanya untuk menghasilkan muzik video yang cukup menyentuh hati pada naratifnya, sedap halwa telinga pada melodinya dan memukau pada visualnya.

Dalam Bahasa Melayu berjudul Kembara, nyanyian Asmidar, manakala dalam Bahasa Inggeris berjudul Slipstream nyanyian Melina William. Tidak kurang, teman seperjuangannya dalam bidang muzik Amran Omar turut mencurahkan idea menukil bait-bait lirik untuk versi Melayu.

Idea yang diperah Pete bukanlah asing dalam bidang seni tempatan. Di layar perak, filem 1957: Hati Malaya, 29 Februari dan Tanda Putera pernah terlebih dahulu menggunakan idea yang sama dalam filem. Di studio muzik, trio adik-beradik KRU pernah bergabung dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee menerusi lagu Getaran Jiwa. Segala usaha mereka dihargai.

Manakala di negara Uncle Sam, mereka bermegah dengan filem Forrest Gump dan duet nostalgik Unforgettable Natalie Cole dan bapanya, Nat King Cole. Jadi, ia bukanlah sesuatu yang asing atau pun anjakan teknologi terkini.

Dengan bantuan imej janaan komputer dan efek visual idea kreatif anak tempatan, video muzik tersebut menggabungkan personaliti Malaysia pada zaman moden dengan rakaman arkib dari era 50an dan 60an, seakan membawa mereka bersama-sama menyaksikan detik bersejarah penubuhan negara.

Personaliti terpilih yang bernasib baik untuk turut terserta bukan calang-calang orang. Daripada pelbagai latar belakang bangsa, agama, kerjaya malah prinsip politik mereka digabungkan untuk sama-sama merasai suasana detik bersejarah negara.

Bayangkan pelakon handalan Sofia Jane duduk sebaris bersama tokoh perniagaan Nazir Tun Razak dan Ahli Parlimen Bentong, Liow Tiong Lai menyaksikan Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj melaungkan kata keramat Merdeka sebanyak tujuh kali.

Di satu sudut kelihatan pengarah kontroversi, Namewee dan penyanyi malar segar David Arumugam di sudut lagi satu menyaksikan upacara yang sama.

Bayangkan tokoh politik berbeza parti, Tengku Razaleigh Hamzah dan Lim Kit Siang pun turut sama-sama berdiri sebelah menyebelah tanpa prejudis. Penglibatan anak tempatan yang mencipta nama di Hollywood, Michelle Yeoh juga dihargai walaupun kelibatnya hanya kelihatan selama dua saat. Janganlah penglibatan mereka ini dijadikan polemik politik yang tiada penyudahnya.

Dan daripada seluruh rakyat Malaysia itu kelihatan anak sulung mantan Perdana Menteri keempat, Marina Tun Mahathir dan anak sulung mantan Timbalan Perdana Menteri ketujuh yang kini Ketua Pembangkang, Nurul Izzah Anwar berpimpinan tangan melintas jalan.

Ada subteks yang mahu disampaikan, ia bukan visual yang kosong.

Paling manis adalah penglibatan pengarah filem tersohor, Yasmin Ahmad yang mampu membuat saya tersenyum. Walaupun beliau telah pergi menyahut panggilan Ilahi, kelibatnya turut kelihatan menyokong usaha sahabat baiknya itu. Bayi yang dikendong Yasmin, itulah kita...generasi kini yang mengecap segala nikmat dari setiap usaha yang telah dicurahkan oleh generasi terdahulu.

Visual asas negara pada tahun 1957 diadun dengan visual pada tahun 2013 memperlihatkan Stadium Merdeka dilatar bangunan pencakar langit yang wujud di depan mata kita sekarang. Tanpa sedikit pun cela, ia menjadi visual paling memukau pandangan.

Kali ini, ia bukan fitnah daripada foto belakang tabir pembikinan filem Tanpa Putera kerana ia sememangnya diadun sebegitu rupa.

Menonton muzik video tersebut terasa seperti berada di era tersebut. Semangat laungan merdekanya seakan meresap dalam diri. Hiruk-pikuk manusia pelbagai bangsa dan agama di sekeliling seakan menjadi melodi paling sedap didengar. Pada ketika itu, api semangat rakyat bersalut suara kebebasan.

Lirik lagu ini bertanya "adakah kau bersamaku?" menyemai subur rasa cinta dan kasih kita kepada bumi tercinta ini. Disokong vokal Asmidar dan Melina William, menjadikan lagu ini sebagai lagu penyembuh terbaik masa kini.

Tidak kekok sekiranya video muzik ini menjadi wabak kepada seluruh rakyat Malaysia di sini, malah seluruh dunia sekalipun. Biar wabak itu merebak untuk mencuci luka-luka yang bernanah sejak beberapa bulan lalu disemarak api perkauman.

Manifestasi seni telah disampaikan menerusi kembara masa, mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat. Jiwanya menjadi satu membentuk jati diri yang utuh. Bersatu dalam medium seni visual, agar semangatnya terus meresap dalam sanubari generasi terkini.

Tanpa dana berjuta ringgit, tidak keterlaluan jika saya katakan visual kesan khas janaan komputer karya seni ini jauh melangkaui CGI filem-filem yang telah terlebih dahulu dihasilkan. Ia dihasilkan atas minat yang mendalam demi negara dan bangsa tercinta.

Itulah yang mampu saya gambarkan tatkala pertama kali menonton video muzik tersebut.

Sekiranya padat penceritaan yang ingin disampaikan, jujur luahan rasa pembikinnya, karya tersebut akan menjadi karya tulus yang akan terus ke hati penontonnya. Tanpa syak wasangka melampau, hayatilah Kembara dan Slipstream sedalam-dalamnya dan sebarkan menjadi wabak.

Kembara, gubahan Pete Teo dan Amran Omar, dipersembahkan oleh Asmidar
Slipstream, gubahan Pete Teo dan dipersembahkan oleh Melina William
Menyusuri detik waktu
Citra indah duniaku

Sepanjang jalan dilalui
Terpahat di hati
Kasihku bersemi
Adakah kau bersamaku (2x)

Mengembara dalam tangis tawa
Kasih kita yang tiada batasnya

Sepanjang jalan dilalui
Terpahat di hati
Kasihku bersemi
Adakah kau bersamaku (2x)

Selamat Hari Malaysia!